Manusia dipandang daripada
dua sudut; wujud lahiriah dan wujud rohani. Dalam segi kewujudan lahiriah
keadaan kebanyakan manusia adalah berlebih kurang sahaja di antara satu sama
lain. Oleh yang demikian peraturan kemanusiaan yang umum boleh digunakan untuk
sekalian manusia bagi urusan lahiriah mereka. Dalam sudut kewujudan rohani yang
tersembunyi di sebalik wujud lahiriah, setiap manusia adalah berbeza. Jadi,
peraturan yang khusus mengenai diri masing-masing diperlukan.
Manusia boleh kembali kepada
asalnya dengan mengikuti peraturan umum, dengan mengambil langkah-langkah
tertentu. Dia mestilah mengambil peraturan agama yang jelas dan mematuhinya.
Dengan demikian dia boleh maju ke hadapan. Dia boleh meningkat dari satu
peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi sehingga dia sampai dan memasuki
jalan atau peringkat kerohanian, masuk ke daerah makrifat. Peringkat ini sangat
tinggi dan dipuji oleh Rasulullah s.a.w, “Ada suasana
yang semua dan segala-galanya berkumpul di sana dan ia adalah makrifat yang
murni”.
Untuk sampai ke peringkat
tersebut Perlulah dibuang kepura-puraan dan kepalsuan yang melakukan kebaikan
kerana menunjuk-nunjuk. Kemudian dia perlu menetapkan tiga matlamat. Tiga
matlamat tersebut sebenarnya adalah tiga jenis syurga. Yang pertama dinamakan
Ma’wa – syurga tempat kediaman yang aman. Ia adalah syurga duniawi. Kedua, Na’im
– taman keredaan Allah dan kurniaan-Nya kepada makhluk-Nya. Ia adalah syurga di
dalam alam malaikat. Ketiga dinamakan Firdaus – syurga alam tinggi. Ia adalah
syurga pada alam kesatuan akal asbab, rumah kediaman bagi roh-roh, medan bagi
nama-nama dan sifat-sifat. Kesemua ini adalah balasan yang baik, keelokan Allah
yang manusia berjasad akan nikmati dalam usahanya sepanjang tiga peringkat ilmu
pengetahuan yang berturut-turut; usaha mematuhi peraturan syariat; usaha
menghapuskan yang berbilang-bilang pada dirinya, melawan penyebab yang
menimbulkan suasana berbilang-bilang itu, iaitu ego diri sendiri, bagi mencapai
peringkat penyatuan dan kehampiran dengan Pencipta; akhirnya usaha untuk
mencapai makrifat, di mana dia mengenali Tuhannya. Peringkat pertama dinamakan
syariat, kedua tarekat dan ketiga makrifat.
Nabi Muhammad s.a.w
menyimpulkan keadaan-keadaan tersebut dengan sabda baginda s.a.w, “Ada suasana
di mana semua dan segala-galanya dikumpulkan dan ia adalah hikmah kebijaksanaan
(makrifat)”. Baginda s.a.w juga bersabda, “Dengannya
seseorang mengetahui kebenaran (hakikat), yang berkumpul di dalamnya sebab-sebab
dan semua kebaikan. Kemudian seseorang itu mesti bertindak atas kebenaran
(hakikat) tersebut. Dia juga perlu mengenali kepalsuan dan bertindak ke atasnya
dengan meninggalkan segala yang demikian”. Baginda s.a.w mendoakan,
“Ya Allah, tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan
pilihan kami mengikuti yang benar itu. Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak
benar dan permudahkan kami meninggalkannya”. Orang yang kenal dirinya
dan menentang keinginannya yang salah dengan segala kekuatannya akan sampai
kepada mengenali Tuhannya dan akan menjadi taat kepada kehendak-Nya.
Semua ini adalah peraturan
umum yang mengenai diri zahir manusia. Kemudian ada pula aspek diri rohani atau
diri batin manusia yang merupakan insan yang tulen, suci bersih dan murni.
Maksud dan tujuan diri ini hanya satu iaitu kehampiran secara keseluruhan kepada
Allah s.w.t. Satu cara sahaja untuk mencapai suasana yang demikian, iaitu
pengetahuan tentang yang sebenarnya (hakikat). Di dalam daerah wujud penyatuan
mutlak, pengetahuan ini dinamakan kesatuan atau keesaan.
Matlamat pada jalan tersebut
harus diperolehi di dalam kehidupan ini. Di dalam suasana itu tiada beza di
antara tidur dengan jaga kerana di dalam tidur roh berkesempatan membebaskan
dirinya untuk kembali kepada asalnya, alam arwah, dan dari sana kembali semula
ke sini dengan membawa berita-berita dari alam ghaib. Fenomena ini dinamakan
mimpi. Dalam keadaan mimpi ia berlaku secara sebahagian-bahagian. Ia juga boleh
berlaku secara menyeluruh seperti israk dan mikraj Rasulullah s.a.w. Allah
berfirman: “Allah
memegang jiwa-jiwa ketika matinya dan yang tidak mati, dalam tidurnya, lalu Dia
tahan yang dihukumkan mati atasnya dan Dia lepaskan yang lain”. (Surah Zumaar, ayat 42).
Nabi s.a.w bersabda, “Tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang
jahil”. Orang alim adalah orang yang telah memperolehi pengetahuan
tentang hakikat atau yang sebenar, yang tidak berhuruf, tidak bersuara.
Pengetahuan demikian diperolehi dengan terus menerus berzikir nama keesaan Yang
Maha Suci dengan lidah rahsia. Orang alim adalah orang yang zat dirinya
ditukarkan kepada cahaya suci oleh cahaya keesaan. Allah berfirman melalui
rasul-Nya: “Insan
adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya. Pengetahuan batin tentang hakikat roh adalah
rahsia kepada rahsia-rahsia-Ku. Aku campakkan ke dalam hati hamba-hamba-Ku yang
baik-baik dan tiada siapa tahu Keadaannya melainkan Aku.” “Aku adalah sebagaimana hamba-Ku mengenali Daku.
Bila dia mencari-Ku dan ingat kepada-Ku, Aku besertanya. Jika dia mencari-Ku di
dalam, Aku mendapatkannya dengan Zat-Ku. Jika dia ingat dan menyebut-Ku di dalam
jemaah yang baik, Aku ingat dan menyebutnya di dalam jemaah yang lebih
baik”.
Segala yang dikatakan di sini
jika berhasrat mencapainya perlulah melakukan tafakur – cara mendapatkaan
pengetahuan yang demikian jarang digunakan oleh orang ramai. Nabi s.a.w
bersabda, “Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada
satu tahun beribadat”. “Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada tujuh puluh
tahun beribadat”. “Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada seribu tahun
beribadat”.
Nilai sesuatu amalan itu
tersembunyi di dalam hakikat kepada yang sebenarnya. Perbuatan bertafakur di
sini nampaknya mempunyai nilai yang berbeza.
Sesiapa merenungi sesuatu
perkara dan mencari penyebabnya dia akan mendapati setiap bahagian mempunyai
bahagian-bahagian sendiri dan dia juga mendapati setiap satu itu menjadi
penyebab kepada berbagai-bagai perkara lain. Renungan begini bernilai satu tahun
ibadat.
Sesiapa merenungi kepada
pengabdiannya dan mencari penyebab dan alasan dan dia dapat mengetahui yang
demikian, renungannya bernilai lebih daripada tujuh puluh tahun ibadat.
Sesiapa merenungkan hikmah
kebijaksanaan Ilahi dan bidang makrifat dengan segala kesungguhannya untuk
mengenal Allah Yang Maha Tinggi, renungannya bernilai lebih daripada seribu
tahun ibadat kerana ini adalah ilmu pengetahuan yang sebenarnya.
Pengetahuan yang sebenarnya
adalah suasana keesaan. Orang arif yang menyintai menyatu dengan yang
dicintainya. Daripada alam kebendaan terbang dengan sayap kerohanian meninggi
hingga kepada puncak pencapaian. Bagi ahli ibadat berjalan di dalam syurga,
sementara orang arif terbang kepada kedudukan berhampiran dengan Tuhannya.
Para pencinta mempunyai mata pada hati mereka mereka memandang sementara yang lain terpejam sayap yang mereka miliki tanpa daging tanpa darah mereka terbang ke arah malaikat Tuhan jualah yang dicari!
Penerbangan ini terjadi di
dalam alam kerohanian orang arif. Para arifbillah mendapat penghormatan
dipanggil insan sejati, menjadi kekasih Allah, sahabat-Nya yang akrab,
pengantin-Nya. Bayazid al-Bustami berkata, “Para Pemegang makrifat adalah
pengantin Allah Yang Maha Tinggi”.
Hanya pemilik-pemilik
‘pengantin yang pengasih’ mengenali mereka dengan dekat dan secara mesra..
Orang-orang arif yang menjadi sahabat akrab Allah, walaupun sangat cantik,
tetapi ditutupi oleh keadaan luaran yang sangat sederhana, seperti manusia
biasa. Allah berfirman melalui rasul-Nya: “Para sahabat-Ku tersembunyi di bawah kubah-Ku.
Tiada yang mengenali mereka kecuali Aku”.
Kubah yang di bawahnya Allah
sembunyikan sahabat-sahabat akrab-Nya adalah keadaan mereka yang tidak terkenal,
rupa yang biasa sahaja, sederhana dalam segala hal. Bila melihat kepada
pengantin yang ditutupi oleh tabir perkahwinan, apakah yang dapat dilihat
kecuali tabir itu?
Yahya bin Muadh al-Razi
berkata, “Para kekasih Allah adalah air wangi Allah di dalam dunia. Tetapi hanya
orang-orang yang beriman yang benar dan jujur sahaja dapat menciumnya”. Mereka
mencium keharuman baunya lalu mereka mengikuti bau itu. Keharuman itu
mengwujudkan kerinduan terhadap Allah dalam hati mereka. Masing-masing dengan
cara tersendiri mempercepatkan langkahnya, menambahkan usaha dan ketaatannya.
Darjah kerinduannya, keinginannya dan kelajuan perjalanannya bergantung kepada
berapa ringan beban yang dibawanya, sejauh mana dia telah melepaskan diri
kebendaan dan keduniaannya. Semakin banyak seseorang itu menanggalkan pakaian
dunia yang kasar ini semakin dia merasakan kehangatan. Penciptanya dan semakin
hampirlah kepada permukaan akan muncul diri rohaninya. Kehampiran dengan yang
sebenar (hakikat) bergantung kepada sejauh mana seseorang itu melepaskan
kebendaan dan keduniaan yang menipu daya.
Penanggalan aspek yang
berbilang-bilang pada diri membawa seseorang hampir dengan satu-satunya
kebenaran. Orang yang akrab dengan Allah adalah orang yang telah membawa dirinya
kepada keadaan kekosongan. Hanya selepas itu baharulah dia dapat melihat
kewujudan yang sebenarnya (hakikat). Tidak ada lagi kehendak pada dirinya untuk
dia membuat sebarang pilihan. Tiada lagi ‘aku’ yang tinggal, kecuali kewujudan
satu-satunya iaitu yang sebenarnya (hakikat). Walaupun berbagai-bagai
kekeramatan yang muncul melalui dirinya sebagai membuktikan kedudukannya, dia
tidak ada kena mengena dengan semua itu. Di dalam suasananya tidak ada pembukaan
terhadap rahsia-rahsia kerana membuka rahsia Ilahi adalah kekufuran.
Di dalam buku yang bertajuk
“Mirsad” ada dituliskan, ‘Semua orang yang kekeramatan zahir melalui mereka
adalah ditutup daripadanya dan tidak memperdulikan keadaan tersebut. Bagi mereka
masa kekeramatan muncul melalui mereka dianggap sebagai masa perempuan keluar
darah haid. Wali-wali yang hampir dengan Allah perlu mengembara
sekurang-kurangnya seribu peringkat, yang pertamanya ialah pintu kekeramatan.
Hanya mereka yang dapat melepasi pintu ini tanpa dicederakan akan meningkat
kepada peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi. Jika mereka leka mereka tidak
akan sampai ke mana-mana.
|
Rd.Adi Kusuma
Minggu, 22 Juli 2012
SIRR AL-ASROR 4.MANUSIA KEMBALI KE ASAL USUL
Manusia kembali ke asal
usul
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.