Menyaksikan Allah S.w.t
SAMPAI KEPADA MAKAM
MELIHAT KENYATAAN ZAT YANG MAHA SUCI.
Melihat Allah ada dua jenis:
Pertama melihat sifat keindahan Allah yang sempurna secara langsung di akhirat’
dan satu lagi melihat sifat-sifat ketuhanan yang dipancarkan ke atas cermin yang
jernih kepunyaan hati yang tulen di dalam kehidupan ini. Dalam hal tersebut
penyaksian kelihatan sebagai penzahiran cahaya keluar daripada keindahan Allah
yang sempurna dan dilihat oleh mata hati yang hakiki. “Hati tidak menafikan apa yang dia
lihat”. (Surah Najmi, ayat 11).
Mengenai melihat kenyataan
Allah melalui perantaraan, Nabi s.a.w bersabda, “Yang
beriman adalah cermin kepada yang beriman”. Yang beriman yang
pertama, cermin dalam ayat ini, adalah hati yang beriman yang suci murni,
sementara yang beriman kedua adalah Yang Melihat bayangan-Nya di dalam cermin
itu, Allah Yang Maha Tinggi. Sesiapa yang sampai kepada makam melihat kenyataan
sifat Allah di dalam dunia ini akan melihat Zat Allah di akhirat, tanpa rupa
tanpa bentuk.
Kenyataan ini disahkan oleh
Saidina Umar r.a dengan katanya, “Hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”.
Saidina Ali r.a berkata, “Aku tidak menyembah Allah kecuali aku melihat-Nya”.
Mereka berdua tentu telah melihat sifat-sifat Allah dalam kenyataan. Jika
seseorang melihat cahaya matahari masuk melalui jendela dan dia berkata, “Aku
melihat matahari”, dia bercakap benar.
Allah memberi gambaran yang
jelas tentang kenyataan sifat-sifat-Nya:
“Allah itu
nur bagi langit-langit dan bumi. Bandingan nur-Nya (adalah) seperti satu
kurungan pelita yang di dalamnya ada pelita (sedang) pelita itu dalam satu
kaca, (dan) kaca itu sebagai bintang yang seperti mutiara, yang dinyalakan
(dengan minyak) dari pohon yang banyak faedah (iaitu) zaitun yang bukan bangsa
timur dan bukan bangsa barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi, walaupun
tidak disentuh api, nur atas nur, Allah pimpin kepada nur-Nya siapa yang Dia
kehendaki, dan Allah mengadakan perumpamaan bagi manusia, dan Allah mengetahui
tiap sesuatu”. (Surah Nuur, ayat
35).
Perumpamaan dalam ayat ini
adalah hati yang yakin penuh di kalangan orang yang beriman. Lampu yang
menerangi bekas hati itu ialah hakikat atau intipati kepada hati, sementara
cahaya yang dipancarkan ialah rahsia Tuhan, ‘roh sultan’. Kaca adalah lutsinar
dan tidak memerangkap cahaya di dalamnya tetapi ia melindunginya sambil
menyebarkannya kerana ia umpama bintang. Sumber cahaya adalah pohon Ilahi. Pohon
itu adalah makam atau suasana keesaan, menjalar dengan dahan dan akarnya,
memupuk prinsip-prinsip iman, berhubung tanpa perantaraan dengan bahasa yang
asli.
Secara langsung, melalui
bahasa yang asli itulah Nabi s.a.w menerima pembukaan al-Quran. Dalam kenyataan
Jibrail membawa firman Tuhan hanya setelah firman tersebut diterima – ini adalah
untuk faedah kita supaya kita boleh mendengarnya dalam bahasa manusia. Ini juga
memperjelaskan siapakah yang tidak percaya dan munafik dengan memberi mereka
peluang untuk menafikannya seperti mereka tidak percaya kepada malaikat.
“Dan
sesungguhnya diwahyukan kepada kamu Quran (ini) dari sisi (Tuhan) yang
bijaksana, yang mengetahui”. (Surah Naml, ayat
6).
Oleh kerana Nabi s.a.w
menerima pembukaan sebelum Jibrail membawanya kepada baginda, setiap kali
Jibrail membawa ayat-ayat suci itu Nabi s.a.w mendapatinya di dalam hatinya dan
membacanya sebelum ayat itu diberikan. Inilah alasan bagi ayat:
“Dan
janganlah engkau terburu-buru dengan Quran sebelum habis diwahyukan kepada
kamu”. (Surah Ta Ha, ayat 114).
Keadaan ini menjadi jelas
sewaktu Jibrail menemani Nabi s.a.w pada malam mikraj, Jibrail tidak terdaya
untuk pergi lebih jauh daripada Sidratul Muntaha. Dia berkata, “Jika aku ambil
satu langkah lagi aku akan terbakar”. Jibrail membiarkan Nabi s.a.w meneruskan
perjalanan seorang diri.
Allah menggambarkan pokok
zaitun yang diberkati, pokok keesaan, bukan dari timur dan bukan dari barat.
Dalam lain perkataan ia tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan, dan
cahayanya yang menjadi sumber tidak terbit dan tidak terbenam. Ia kekal pada
masa lalu dan tiada kesudahan pada masa akan datang. Kedua-dua Zat Allah dan
sifat-sifat-Nya adalah kekal abadi. Kedua-dua kenyataan Zat-Nya dan kenyataan
sifat-Nya bergantung kepada Zat-Nya.
Penyembahan yang sebenar
hanya boleh dilakukan apabila hijab yang menutup hati tersingkap agar cahaya
abadi menyinarinya. Hanya selepas itu hati menjadi terang dengan cahaya Ilahi.
Hanya selepas itu roh menyaksikan perumpamaan Ilahi itu.
Tujuan diciptakan alam maya
adalah untuk ditemui khazanah rahsia itu. Allah berfirman melalui Rasul-Nya:
“Aku adalah
Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Aku suka dikenali lalu Aku ciptakan makhluk
agar Aku dikenali”.
Ini
bermakna Dia boleh dikenali di dalam dunia ini melalui sifat-sifat-Nya. Tetapi
untuk melihat dan mengenali Zat-Nya sendiri hanyalah boleh terjadi di akhirat.
Di sana melihat Allah adalah secara langsung sebagaimana yang Dia kehendaki dan
yang melihatnya adalah mata bayi hati.
“Beberapa
muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya mereka melihat”. (Surah Qiamat, ayat 22 & 23).
Nabi s.a.w bersabda, “Aku melihat Tuhanku di dalam rupa jejaka tampan”.
Mungkin ini adalah bayangan bayi hati. Bayangan adalah cermin. Ia menjadi alat
untuk menzahirkan yang ghaib. Hakikat Allah Yang Maha Tinggi tidak menyerupai
sesuatu samada bayangan atau bentuk. Bayangan adalah cermin, walaupun yang
kelihatan bukanlah cermin dan bukan juga orang yang melihat ke dalam cermin.
Fikirkan tentang itu dan cubalah memahaminya kerana ia adalah hakikat kepada
alam rahsia-rahsia.
Tetapi semuanya berlaku pada
makam sifat. Pada makam Zat semua kenyataan hilang, lenyap. Orang yang di dalam
makam Zat itu sendiri lenyap tetapi mereka merasai zat itu dan tiada yang lain.
Betapa jelas Nabi s.a.w menggambarkannya, “Aku daripada
Allah dan yang beriman daripadaku”. Dan Allah berfirman melalui
Rasul-Nya:
“Aku
ciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya Wujud-Ku sendiri”.
Maksud Wujud Allah adalah
Zat-Nya Yang Maha Suci, menyata di dalam sifat-sifat-Nya Yang Maha Mengasihani.
Ini dinyatakan-Nya melalui Rasul-Nya:
“Rahmat-Ku
mendahului murka-Ku”.
Rasul yang dikasihi Allah
adalah cahaya kebenaran sebagaimana Allah berfirman:
“Tidak Kami
utuskan engkau melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam”.
(Surah Anbiyaa’, ayat 107).
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu rasul Kami,
menerangkan kepada kamu beberapa banyak dari (isi Kitab) yang kamu sembunyikan,
dan ia tidak ambil tahu berapa banyak. Sesungguhnya telah datang kepada kamu
cahaya dari Allah dan Kitab yang menerangkan”. (Surah Maaidah,
ayat 15).
Pentingnya utusan Allah yang
dikasihi-Nya itu jelas dengan firman-Nya kepada baginda, “Jika tidak kerana engkau Aku tidak ciptakan
makhluk”.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.