Maksud ibadah zahir dan ibadah
batin
Lima kali sehari semalam,
pada masa yang telah ditentukan, sembahyang diwajibkan kepada sekalian Muslim
yang baligh dan berkuasa. Ini diperintahkan oleh Allah: "Kerjakan sembahyang dengan tetap dan
akan sembahyang yang terlebih penting". (Surah al-Baqaraah,
ayat 238).
Sembahyang menurut peraturan
agama (rukun sembahyang) terdiri daripada berdiri, membaca Quran, rukuk, sujud,
duduk, membaca dengan kedengaran beberapa doa. Pergerakan dan perbuatan ini
melibatkan bahagian-bahagian tubuh, pembacaan diucap dan didengar melibatkan
pancaindera dan deria, adalah sembahyang diri zahir. Kerana tindakan diri zahir
ini dilakukan berulang-ulang, acapkali, di dalam setiap lima waktu sehari,
bahagian pertama menurut perintah Allah "Dirikan
sembahyang", adalah lebih dari satu. Bahagian kedua perintah Allah
"terutamanya sembahyang pertengahan" merujuk
kepada sembahyang hati, kerana hati berada di tengah-tengah pada kejadian
manusia. Tujuan sembahyang ini adalah mendapatkan kesejahteraan pada hati. Hati
berada di tengah-tengah, antara kanan dengan kiri, antara hadapan dengan
belakang, antara atas dengan bawah, antara kebaikan dnegan keburukan. Hati
adalah pusat, titik pengimbang, penengah. Nabi s.a.w bersabda, "Hati anak Adam berada di antara dua jari Yang Maha Penyayang. Dia
balikkan ke arah mana yang Dia kehendaki". Dua jari Allah adalah
sifat kekerasan-Nya yang berkuasa menghukum dan sifat keindahan-Nya dan
pengasih-Nya yang memberi rahmat dan nikmat.
Sembahyang sebenar adalah
sembahyang hati. Jika hati lalai daripada sembahyang, sembahyang zahir tidak
akan teratur. Bila ini terjadi kesejahteraan dan kedamaian diri zahir yang
diharapkan diperolehi daripada sembahyang zahir itu tidak diperolehi. Sebab itu
Nabi s.a.w bersabda, "Amalan sembahyang mungkin dengan
hati yang diam".
Sembahyang adalah penyerahan
yang dicipta kepada Pencipta. Ia adalah pertemuan di antara hamba dengan
Tuannya. Tempat pertemuan itu ialah hati. Jika hati tertutup, lalai dan mati,
begitu juga maksud sembahyang itu, tidak ada kebaikan yang sampai kepada diri
zahir daripada sembahyang yang demikian, kerana hati adalah intipati atau
hakikat atau zat bagi jasad, semua yang lain bergantung kepadanya. Nabi s.a.w
bersabda, "Ada sekeping daging di dalam tubuh manusia,
jika ia baik maka baiklah semua anggota tetapi jika ia jahat maka jahat pula
anggota. Ketahuilah, itulah hati".
Sembahyang yang diperintahkan
oleh agama (syariat) dilakukan pada waktu tertentu, lima kali sehari semalam.
Sebaiknya dilakukan di dalam masjid secara berhemah, menghadap ka'abah, mengikut
imam yang tidak munafik dan tidak ria'.
Masa untuk bersembahyang
batin tidak mengira masa dan tidak berkesudahan, bagi kehidupan ini dan juga
akhirat. Masjid bagi sembahyang ini ialah hati. Jemaahnya ialah bakat-bakat
kerohanian, yang mengingat dan mengucapkan nama-nama Allah Yang Esa di dalam
bahasa alam batin. Imam sembahyang ini ialah kehendak yang tidak dapat disekat,
arah kiblatnya ialah keesaan Allah, yang di mana-mana, dan keabadian-Nya dan
keindahan-Nya.
Hati yang sejati adalah yang boleh melakukan sembahyang yang demikian. Hati yang seperti ini tidak tidur dan tidak mati. Hati dan roh yang demikian berada di dalam sembahyang yang berterusan, dan manusia yang memiliki hati yang demikian, samada dia dalam jaga atau tidur, sentiasa berbuat kebaktian. Sembahyang batin yang dilakukan oleh hati adalah keseluruhan kehidupannya. Tiada lagi bunyi bacaan, berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Pembimbingnya, imam sembahyang itu adalah Rasulullah s.a.w sendiri. Baginda berkata-kata dengan Allah Yang Maha Tinggi, "Engkau yang kami sembah dan Engkau jualah yang kami minta pertolongan". (Surah Fatihaah, ayat 4). Ayat suci ini ditafsirkan sebagai tanda manusia sempurna, yang melewati atau melepasi dari menjadi kosong, hilang kepada segala kebendaan, kepada suasana keesaan. Hati yang sempurna demikian menerima rahmat yang besar daripada Ilahi. Satu daripada rahmat itu dinyatakan oleh Nabi s.a.w, "Nabi-nabi dan yang dikasihi Allah meneruskan ibadat mereka di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah mereka ketika mereka hidup di dalam dunia". Dalam lain perkataan kehidupan abadi hati meneruskan penyerahan kepada Allah Yang Maha Tinggi.
Bila sembahyang tubuh badan
dan sembahyang diri batin berpadu, sembahyang itu lengkap, sempurna. Ganjarannya
besar. Ia membawa seseorang secara kerohanian kepada kehampiran dengan Allah,
dan secara zahir kepada peringkat yang paling tinggi mampu dicapai. Dalam alam
kenyataan mereka menjadi hamba Allah yang taat. Suasana dalaman pula mereka
adalah orang arif yang memperolehi makrifat sebenar tentang Allah. Jika
sembahyang zahir tidak bersatu dengan sembahyang batin, ia adalah kekurangan.
Ganjarannya hanyalah pada pangkat atau kedudukan, tidak membawa seseorang hampir
dengan Allah.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.