Kebahagiaan kerana beramal
shaleh
Kamu patut tahu bahawa
manusia akan termasuk kepada salah satu daripada dua golongan, golongan pertama
ialah yang berada dalam kedamaian, keimanan, bahagia dalam melakukan ketaatan
kepada Allah, sementara golongan kedua berada dalam keadaan tidak selamat,
keraguan dan kerisauan dalam keingkaran terhadap peraturan Tuhan. Kedua-dua
nilai, ketaatan dan keingkaran, ada di dalam diri seseorang. Jika kesucian,
kebaikan dan keikhlasan lebih menguasai, sifat-sifat mementingkan diri akan
bertukar menjadi suasana kerohanian dan bahagian diri yang ingkar akan
dikalahkan oleh bahagian diri yang baik. Sebaliknya jika seseorang mengikuti
hawa nafsu yang rendah dan kesenangan ego dirinya, sifat-sifat ingkar akan
menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk menjadikannya ingkar dan jahat.
Jika kedua-dua sifat yang berlawanan itu sama-sama kuat diharapkan yang baik itu
boleh menang, sebagaimana yang dijanjikan: “Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya
(ganjaran) sepuluh kali ganda, dan barangsiapa kerjakan kejahatan maka Tidaklah
dibalas dia melainkan sebanyak (kejahatannya) itu, dan mereka tidak akan
diniayai. (Surah An’aam, ayat 160).
Dan jika Allah kehendaki
ditambah-Nya lagi ganjaran atas kebaikan. Namun orang yang kebajikan dan
kejahatannya sama banyak mesti lulus perbicaraan pada hari pembalasan. Orang
yang berjaya mengubah sifat mementingkan diri kepada tidak mementingkan diri,
hawa nafsu yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya tiada hisab, tiada
catatan akan diberikan kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru
hara hari kiamat. “Oleh sebab itu barangsiapa berat (timbangan)
kebaikannya maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa”. (Surah Qari’ah, ayat 6 & 7).
Orang yang kejahatannya lebih
berat daripada kebaikannya akan dihukum menurut kadar kejahatannya. Kemudian dia
dikeluarkan daripada neraka, jika dia beriman, dan akan masuk syurga.
Taat dan ingkar bermakna baik
dan jahat. Kedua-dua ini ada dalam diri seseorang manusia. Yang baik boleh
berubah menjadi jahat dan yang jahat boleh berubah menjadi baik. Nabi s.a.w
bersabda, “Orang yang kebaikan menguasainya menemui
keselamatan, keimanan dan kegembiraan dan menjadi baik. Orang yang kejahatan
lebih menguasai kebaikan, dia menjadi ingkar dan jahat. Orang yang menyedari
kesalahannya dan bertaubat dan mengubah haluannya akan mendapati suasana ingkar
akan bertukar menjadi taat dan beribadat”.
Telah menjadi ketentuan
bahawa baik dan jahat, kehidupan yang diberkati bagi orang yang taat dan
kesengsaraan bagi yang ingkar, adalah keadaan yang setiap orang dilahirkan
dengannya. Kedua-duanya tersembunyi di dalam bakat atau keupayaan seseorang.
Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang bertuah menjadi baik
adalah baik ketika di dalam kandungan ibunya, dan orang berdosa yang jahat
adalah pendosa di dalam kandungan ibunya”. Begitulah keadaannya dan
tiada siapa yang berhak berbincang mengenainya. Urusan takdir bukan untuk
dibincangkan. Jika dibiarkan perbincangan demikian ia akan membawa kepada bidaah
dan kekufuran.
Lagipun tiada siapa boleh
menjadikan takdir sebagai alasan untuk membuang segala ikhtiar, semua perbuatan
baik. Seseorang itu tidak boleh mengatakan, ‘Jika aku ditakdirkan menjadi baik
maka aku bersusah payah membuat kebaikan sedangkan aku sudahpun diberkati’. Atau
berkata, ‘Jika aku sudah ditakdirkan menjadi jahat apa gunanya aku berbuat
kebaikan’. Jelas sekali pendirian demikian tidak benar. Tidak wajar mengatakan,
‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa untung atau rugi yang aku
harapkan dengan usahaku sekarang’. Contoh yang baik diberikan kepada kita adalah
perbandingan di antara Adam a.s dengan iblis yang dilaknat. Iblis meletakkan
kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia menjadi derhaka, maka dia menjadi
kafir dan dibuang jauh daripada keampunan dan kehampiran Tuhan. Adam a.s
mengakui kesilapannya dan memohon keampunan, menerima keampunan dari Allah dan
diselamatkan.
Menjadi kewajipan bagi orang
Islam yang beriman untuk tidak cuba memahami sebab-sebab yang tersimpan di dalam
takdir. Orang cuba berbuat demikian akan menjadi keliru dan tidak mendapat
apa-apa melainkan keraguan. Bahkan dia mungkin kehilangan keyakinan. Orang yang
beriman mestilah mempercayai kepada kebijaksanaan Allah yang mutlak. Segala yang
manusia lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini mesti ada alasan tetapi
alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia kerana ia berdasarkan
kebijaksanaan Tuhan. Di dalam kehidupan ini bila kamu temui pencacian terhadap
Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan lain-lain yang jahat, jangan
biarkan perkara-perkara tersebut menggoncangkan iman kamu. Ketahuilah Allah Yang
Maha Tinggi dengan kebijaksanaan mutlak bertanggungjawab kepada semua perkara
dan Dia lakukan apa yang kelihatan sebagai tidak baik sebagai menyatakan
kekuasaan-Nya yang mutlak. Penzahiran kekuasaan yang demikian mungkin
menyebabkan ada orang yang tidak tertahan dan menganggapnya sebagai tidak baik
tetapi ada rahsia besar di sebaliknya yang tiada makhluk yang tahu melainkan
Rasulullah s.a.w. Ada kisah orang arif berdoa kepada Tuhannya, “Wahai Yang Maha
Suci, semua telah diatur oleh Engkau. Takdirku adalah kepunyaan-Mu. Ilmu yang
Engkau letakkan padaku adalah milik-Mu”. Ketika itu dia mendengar jawapan tanpa
suara tanpa sepatah perkataan, keluar dari dalam dirinya mengatakan, “Wahai
hamba-Ku. Segala yang engkau katakan adalah kepunyaan Yang Maha Esa dan dalam
keesaan. Ia bukan milik hamba-hamba”. Hamba yang beriman itu berkata, “Wahai
Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, aku bersalah, aku berdosa”. Selepas
pengakuan itu sekali lagi dia mendengar dari dalam dirinya, “Dan Aku mempunyai
keampunan terhadap dirimu. Aku telah hapuskan kesalahan-kesalahan kamu, Aku
telah ampun kamu”.
Biar mereka yang beriman tahu
dan bersyukur yang segala kebaikan yang mereka lakukan bukanlah dari mereka
tetapi melalui mereka, kejayaan datangnya dari Pencipta. Bila mereka bersalah
biar mereka tahu bahawa kesalahan mereka datangnya dari diri mereka sendiri,
kepunyaan mereka dan mereka boleh bertaubat. Kesalahan datangnya dari keegoan
mereka yang batil. Jika kamu memahami ini dan mengingatinya kamu termasuk ke
dalam golongan yang disebut Allah: “Dan yang apabila telah berbuat kejelikan atau
menganiayai diri-diri mereka maka mereka ingat kepada Allah dan mereka minta
diampunkan dosa-dosa mereka – bukankah tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa
melainkan Allah? Dan mereka tidak berkekalan di atas dosa yang mereka kerjakan,
dan mereka tahu. Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka,
syurga-syurga yang mengalir padanya sungai-sungai, mereka akan kekal padanya,
dan alangkah baiknya balasan bagi orang-orang yang beramal”. (Surah Imraan, ayat 135 & 136).
Adalah baik bagi orang yang
beriman mengakui yang dirinya sendirilah punca semua kesalahan dan dosanya.
Itulah yang akan menyelamatkannya. Itu lebih baik dan lebih benar daripada
meletakkan kesalahan dirinya kepada Yang Maha Perkasa, Maha Kuasa, Pencipta
semua perkara.
Bila Nabi s.a.w bersabda,
“Telah diketahui bila seseorang itu berada di dalam
kandungan ibunya samada dia akan menjadi baik atau pendosa” baginda
maksudkan ‘dalam kandungan ibu’ itu adalah empat anasir yang melahirkan semua
kekuatan atau tenaga dan kebolehan lahiriah. Dua daripada anasir tersebut adalah
tanah dan air yang bertanggungjawab kepada pertumbuhan keyakinan dan
pengetahuan, melahirkan kehidupan dan lahir dalam hati sebagai tawaduk
(kerendahan diri). Dua anasir lain ialah api dan angin yang bertentangan dengan
tanah dan air – membakar, membinasa, membunuh. Kudrat Tuhan yang menyatukan
anasir-anasir yang berlawanan dan berbeza menjadi satu. Bagaimana air dan api
boleh wujud bersama? Bagaimana cahaya dan kegelapan boleh terkandung di dalam
awan? “Dia yang
mengunjukkan kepada kamu kilat untuk menakutkankan dan kerana harapan, dan Dia
jadikan mega yang berat. Dan petir itu beribadat dengan memuji Tuhannya, dan
malaikat juga, lantaran takut kepada-Nya, dan Dia kirim halilintar dan Dia
kenakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki…”. (Surah ar-Ra’d,
ayat 12 & 13).
Satu hari wali Allah Yahya bin Mua’adh ar-Razi ditanya, “Bagaimana mengenali Allah?’ Dia menjawab, “Melalui gabungan yang bertentangan”.
Pertentangan termasuk pada,
dan sebenarnya keperluan bagi, memahami sifat-sifat Allah. Dengan menghadapkan
diri kepada hakikat Ilahi seseorang menjadi cermin yang membalikkan kebenaran
itu, juga sifat Yang Maha Perkasa dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung
seluruh alam maya. Sebab itu dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah
menciptakan manusia dengan dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan
keperkasaan-Nya, keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang
menunjukkan kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.
Semua nama-nama Ilahi menyata
pada manusia. Semua makhluk yang lain hanya sebelah sahaja. Allah menciptakan
iblis dan keturunannya dengan sifat kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan
sifat kemurahan-Nya. Nilai-nilai kesucian dan kebaktian yang berterusan
terkandung dalam kejadian malaikat, sementara iblis dan keturunannya yang
diciptakan dengan sifat kekerasan-Nya, mempunyai nilai kejahatan, kerana itu
iblis menjadi takabur, dan bila Allah perintahkan sujud kepada Adam dia ingkar.
Oleh kerana manusia mempunyai
kedua-dua ciri alam tinggi dan rendah, dan Allah telah memilih utusan-utusan dan
wali-wali-Nya dari kalangan manusia, mereka tidak bebas daripada kesilapan.
Nabi-nabi dipelihara dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil harus berlaku
pada mereka. Wali-wali pula tidak terjamin dipelihara daripada dosa tetapi
adalah dikatakan wali-wali itu hampir dengan Tuhan, mencapai makam kesempurnaan,
mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan daripada dosa-dosa besar.
Syaqiq al-Baqi berkata,
“Terdapat lima tanda kebenaran: perangai yang lemah lembut dan lembut hati,
menangis kerana menyesal, mengasingkan diri dan tidak peduli tentang dunia,
tidak bercita-cita tinggi, dan memiliki rasa hati (gerak hati atau intuisi).
Tanda-tanda pendosa juga lima; keras hati, mempunyai mata yang tidak pernah
menangis, mencintai dunia dan kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu
dan tidak ada rasa atau gerak hati”.
Nabi s.a.w meletakkan empat
nilai pada orang yang baik-baik, “Boleh dipercayai dan menjaga apa yang
diamanahkan kepadanya dan mengembalikannya. Menepati janji. Bercakap benar,
tidak berbohong. Tidak kasar dalam perbincangan dan tidak menyakitkan hati orang
lain”. Baginda s.a.w juga memberitahu empat tanda pendosa, “Tidak boleh dipercayai dan merosakkan amanah yang diberikan
kepadanya, mungkir janji, menipu, suka bertengkar, memaki apabila berbincang dan
menyakitkan hati orang lain”. Seterusnya
pendosa tidak dapat memaafkan kawan-kawannya. Ini tanda tiada iman kerana
kemaafan menjadi tanda utama orang beriman. Allah memerintahkan rasul-Nya:
“Berilah maaf, dan
suruhlah mereka (manusia) berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada
orang-orang yang bodoh”. (Surah A’raaf, ayat
199).
Perintah ‘maafkanlah’ bukan
hanya tertuju kepada Rasulullah s.a.w seorang sahaja. Ia mengenai semua orang
dan tentu sahaja termasuk mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan
‘maafkanlah’ bermakna jadikan tabiat memafkan, jadikan sifat atau peribadi.
Sesiapa yang ada sifat pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah – ar-Rauf –
Yang Memaafkan. “Barangsiapa memaafkan dan membereskan maka
ganjarannya (adalah) atas (tanggungan) Allah”. (Surah Syura,
ayat 40).
Ketahuilah ketaatan kepada
Allah bertukar menjadi ingkar, kejahatan dan dosa menjadi kebaikan, tidak
berlaku dengan sendiri, tetapi dengan rangsangan, pengaruh, tindakan serta usaha
diri sendiri. Nabi s.a.w bersabda, “Semua anak dilahirkan muslim. Ibu bapanya
yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Setiap orang ada bakat untuk
menjadi baik atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik dan buruk dalam masa
yang sama. Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau sesuatu sebagai
sepenuhnya baik atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan seseorang itu lebih
banyak kebaikannya daripada kejahatannya ataupun sebaliknya.
Ini bukan bermakna manusia
masuk syurga tanpa amalan baik, juga bukan dia dihantar ke neraka tanpa amalan
buruk. Berfikir cara demikian bertentangan dengan prinsip Islam. Allah
menjanjikan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih dan
diancam-Nya orang-orang yang berdosa dengan azab neraka. “Barangsiapa berbuat baik maka
(adalah) untuk kebaikan dirinya dan barangsiapa berbuat jahat maka untuk
dirinya. Kemudian kepada Tuhan kamulah kamu akan dikembalikan”. (Surah Jaasiaah, ayat 15).
"Di hari ini
dibalas setiap jiwa dengan apa yang dia telah usahakan. Tidak ada kezaliman pada
hari ini. Sesungguhnya Allah cepat menghitung”. (Surah Mukmin,
ayat 17).
"Kerana apa
juga amal yang baik yang kamu sediakan untuk diri kamu nanti kamu dapati
(ganjaran)nya di sisi Allah”. (Surah Baqaraah, ayat
110).
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.