Bahagian
ketiga
4. Matlamat Yang
Dicari.
Bagi mereka yang telah mencapai (Mengenal Allah dengan sebenarnya) akan mendapat yang keempat. Kepada mereka diterangkan bahawa yang ditaati itu, jika dikenalkan sebagai Allah, tentu sekali disifatkan sebagai Yang Maha Esa dan Maha Sempurna. Tujuan kitab ini bukanlah untuk menghuraikannya. Antara yang ditaati ini dengan Wujud Hakiki itu ialah ibarat perkaitan matahari dengan dengan cahayanya atau sesuatu yang menyala dengan api; dan dengan itu "memalingkan muka-muka mereka" kepada Dia Yang Menggerakkan langit dan Dia Yang Mengeluarkan Perintahh(Amar) untuk gerak mereka, dan mencapai satu Wujud yang melampaui semua yang dicapai oleh penglihatan mata atau kesedaran batin manusia. Ini adalah kerana mereka dapati ianya melampaui dan berasingan dari setiap sifat yang kita sebutkan dulu.
Yang ini pun terbahagi kepada
beberapa kelas. Bagi satu kelas dalam golongan ini, seluruh apa yang nampak
habis lenyap, hapus dan
fana; namun begitu jiwa (ruh) itu sendiri tetap bertafakur tentang
Keindahan dan Kekudusan Mutlak itu dan merenung dirinya dalam keindahanNya,
yang dikurnia kepadanya kerana ia telah mencapai Hadirat Ilahi. Pada mereka,
benda-benda yang nampak ini {tetapi bukan ruh yang melihat itu}, fana dan
hancur sirnanya.
Di atas peringkat tersebut ada
lagi peringkat yang hanya dicapai oleh beberapa orang pilihan sahaja, iaitu
mereka yang hancur lebur dalam Keagungan Wajah Yang Maha Suci dan Kebesaran
Tuhan Yang Maha Mulia. Dan dengan ini mereka sendiri pun fana dan lenyap
hilang. Tidak ada lagi ruang bagi tafakur diri kerana tidak ada yang
bersangkutan dengan diri. Tidak ada lagi yang tinggal kecuali Allah. Ruh akan
mengalami firmanNya; "Semuanya hancur musnah kecuali
Wajahnya"-(Al-Quran).
Berkenaan ini telah kita bincangkan dalam bab pertama dan telah diterangkan juga apakah maksud
yang mereka gelarkan keadaan ini sebagai "persamaan" dan bagaimana mereka
memandang perkara ini.
Demikian penjelasan kita tentang
kelas-kelas orang yang terhijab juga di antara mereka itu dalam perjalanan.
Tidak perlu naik peringkat demi peringkat, dalam peringkat-peringkat yang telah
kita sebutkan dulu, dan kenaikan mereka itu tidak pula mengambil masa yang
panjang dan lanjut, tetapi hanya dalam masa yang singkat sahaja mereka telah
mencapai makrifat dan mengakui Kebesaran dan Keagungan Allah itu melebihi
segala-galanya. Mereka mencapai peringkat makrifat ini dengan pantas sekali.
Kedatangan "Tajalli" Tuhan melimpahi mereka sehingga "Keagungan WajahNya telah
menelan" segala yang diketahui dengan penglihatan deria atau kesedaran akal.
Mungkin jalan
pertama (berperingkat demi peringkat) itu adalah jalanya Nabi Ibrahim a.s.
(KhalilulLah); dan yang kedua (jalan pantas sekaligus) itu jalannya Nabi
Muhamad SAW. (HabibulLah). Allah sahaja Yang Maha Tahu rahsia kemajuan
perjalanan mereka dan maqam-maqam (stesyen-stesyen) mereka dalam perjalanan
ini.
Demikian penjelasan kita tentang
kelas-kelas orang-orang yang terhijab oleh hijab-hijab. Tidaklah hairan
sekiranya semua maqam ini diperjeniskan sepenuhnya dan dikaji sepenuhnya tentang
hijab-hijab orang-orang dalam perjalanan ini. Maka akan didapati bahawa
bilangan kelas-kelas ini boleh sampai kepada 70 000. Namun, jika saudara lihat
baik-baik, saudara dapati semuanya termasuk dalam bahagian-bahagian yang
saya(Imam Ghazali) terangkan itu. Seperti yang kita lihat, mereka mestilah
terhijab;
-
oleh sifat-sifat keinsanan mereka sendiri, atau
-
oleh deria,
-
khayalan,
-
akal yang memikir dan membuat keputusan, atau
-
oleh cahaya yang sebenarnya.
Sekianlah sahaja yang dapat saya
jawab pertanyaan saudara, meskipun perkara ini datang kepada saya semasa
fikiran saya berbelah bahagi dan sedang bertafakur, dan perhatian saya menumpu
keepada perkara yang lain daripada perkara ini. Saya harapkan supaya saudara
maafkan saya kerana mungkin pena saya tersilap atau kaki saya tergelincir,
kerana bukannya mudah untuk menceburkan diri ke dalam lautan rahsia-rahsia
Ketuhanan yang tidak bertepi itu; dan sukar, amat sukar sekali hendak
mengarang dan menceritakan tentang cahaya-cahaya Maha Tinggi yang terletak jauh
di sebalik tabir.
Wallahu a'lam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.