Bahagian
kedua
B. Kaji Jiwa atau
Ruh Manusia: Lima kebolehan jiwa.
Dengan tahunya kita berkenaan peringkat-peringkat ruh atau jiwa manusia yang bersinar itu, maka dapatlah kita tahu pula perumpamaan atau kias yang dikemukakan oleh ayat An-Nur dalam Al-Qur'an itu.
Yang
pertama. Ruh (jiwa) deria (pancaindera).
Ini ialah penerima maklumat yang
dibawa oleh deria. Inilah akar atau asal jiwa binatang dan menegakkan
sifat-sifat jenis binatang. Ruh ini ada juga pada bayi yang masih kecil.
Yang
Kedua. Jiwa khayalan.
Ini ialah perakam maklumat yang
dibawa oleh deria. Disimpannya maklumat itu dan disediakan untuk dikemukakan
kepada Jiwa atau Ruh Akal di peringkat atasnya, apabila maklumat itu
dikehendaki. Jiwa ini tidak ada pada bayi pada permulaan
pertumbuhannya(evolosi). Inilah sebabnya seseorang bayi itu hendak/akan
memegang sesuatu benda apabila dilihatnya, dan ia akan lupa kepada benda itu
apabila ianya hilang daripada pandangannya. Tidak ada pertelingkahan (konflik)
kehendak timbul dalam jiwa atau ruhnya kepada benda yang tidak ada pada
pandangannya, hinggalah ia meningkat umur sedikit. Maka di kala itu mulalah ia
menangis hendakkan sesuatu benda yang dipegang itu kerana bayangan benda itu ada
padanya, tersimpan dalam khayalannya. Kebolehan ini ada pada setengah-setengah
binatang, tetapi bukan semua binatang. Misalnya kelkatu yang membakar dirinya
dalam api. Kelkatu itu pergi menuju api kerana ia berkehendakkan cahaya
matahari. Di sangkanya api itu tingkap yang terbuka menuju cahaya matahari.
Maka terbanglah ia menuju api itu dan membakar dirinya. Jika kelkatu itu
terbang menuju tempat gelap, ia akan berbalik terbang ke belakang semula
berkali-kali. Sekirannya ia ada jiwa yang dapat mengekalkan ingatan rasa sakit
itu yang disampaikan oleh deria perasa, maka tidaklah ia mahu kembali menuju
api itu setelah ia dicederai oleh api tersebut. Sebaliknya anjing, setelah
menerima pukulan sekali dengan kayu, akan lari apabila sahaja ia melihat kayu.
Yang
Ketiga. Jiwa Akal.
Ruh atau jiwa ini mengetahui
idea-idea yang melebihi sempadan bidang deria dan khayalan. Kebolehan ini hanya
khusus ada pada manusia dan tidak ada pada binatang dan anak-anak. Benda-benda
yang diketahui oleh deria ini adalah kebenaran yang dipakai dengan menyeluruh
dan pasti, sebagaimana telah kita terangkan dalam bahagian berkenaan cahaya
akal yang mana itu lebih diutamakan daripada cahaya mata.
Yang
Keempat. Jiwa yang memikirkan dan membuat kesimpulan.
Jiwa ini mengambil data-data dan
butir-butir tentang bicara akal atau idea dan mengumpulkannya dan menyusunkannya
sebagai pokok pemikiran dan diri situ diambilnya sesuatu maklumat. Kemudian
diambil pula dua kesumpulan dan dicampur lagi dan diambil kesimpulan yang baru
dan begitulah seterusnya tanpa had batasan.
Yang
Kelima. Ruh Kenabian yang maha tinggi.
Ruh ini ada pada Nabi-nabi dan
beberapa orang Aulia Allah. Dengan ruh ini, perkara-perkara ghaib dalam Alam
Tinggi sana dapat mereka lihat bersama dengan beberapa pengetahuan langit dan
bumi serta Ilmu Ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh Jiwa Akal dan Jiwa yang
membuat kesimpulan itu. Inilah yang dimaksudkan oleh ayat Al-Qur'an yang lebih
kurang maksudnya;
"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu dengan satu ruh dari Qudrat Kami;
Kamu tidak tahu Al-Kitab atau Al-Iman tetapi Kami jadikan ruh itu satu cahaya
yang dengannya Kami bimbing sesiapa yang Kami Kehendaki daripada hamba-hamba
Kami. Dan kamu sesungguhnya dibimbing pada jalan yang
lurus".
Oleh itu,
ingatlahwahai orang-orang yang hanya berhenti dan berpuashati dengan akal fikiran
sahaja. Tidakkah ada
peringkat yang lebih tinggi lagi dari peringkat akal yang boleh melihat apa yang
terlihat di dalam bidang akal?; sebagaimana juga bidang akal itu lebih tinggi
dari bidang deria dan dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh deria?.
Tidakkah ada yang lebih tinggi daripada akal itu? Hati-hatilah jangan berhenti setakat itu sahaja dan menyangka
sempurna.
Perhatikan pula tentang kebolehan
ilham yang didapati oleh penyair atau penyajak. Jika saudara hendakkan contoh
daripada pengalaman harian yang biasa dapat dilihat, ianya dapat diperhatikan
dari kurniaan khusus yang ada pada beberapa orang sahaja. Kurniaan yang
berharga ini adalah khusus diberikan kepada mereka padahal orang lain tidak
berpeluang mendapat kurniaan itu. Bukankah luarbiasa kebolehan ilham yang ada
pada beberapa orang hamba Allah hingga mereka dapat mengeluarkan muzik dan irama
yang menggoncangkan jiwa; menimbulkan perasaan, suka, duka, sedih, pilu,
geram, memberansangkan dan sebagainya. Kesan-kesan dari perasaan ini hanya
dapat dilakukan oleh orang-orang yang dikurniai dengan kebolehan tersebut.
Orang yang tidak ada kebolehan ini hanya setakat mampu mendengar dan melihat
sahaja. Mereka tidak dapat mengalami dan merasai kesan perasaan itu. Bahkan
sekiranya semua ahli bijak pandai dalam dunia ini membuat satu persidangan
dengan tujuan hendak membuat seseorang itu mengetahui dan memahami maksud rasa
muzik itu, nescaya mereka tidak akan berjaya berbuat demikian.
Inilah satu contoh yang mudah
saudara faham. Sekarang gunakanlah ini pula kepada
perkara Kenabian dan berjuanglah dengan ikhlas untuk menjadi seorang daripada
golongan mereka yang mengalami dan merasai sedikit ruh Kenabian itu.
Aulia Allah khususnya telah merasai sebahagian besar daripada pengalaman
keruhanian Kenabian ini. Jika saudara tidak dapat mencapainya, cubalah pula
melalui disiplin perumpamaan dan ibarat yang dikemukakan di muka surat
terdahulu yang akan menjadi seorang daripada golongan mereka yang memahami
perkara ini secara saintifik (secara ilmu pengetahuan).
Jika ini pun saudara tidak berupaya,
maka cukuplah dengan hanya mempercayainya. ("Allah meninggikan darjat
orang-orang yang percaya(beriman) di kalangan kamu, dan mereka yang mendapat
ilmu dengan beberapa darjat")- Al-Qur'an.
Ilmu
saintifik itu berada di atas peringkat percaya dan pengetahuan mistik(pengalaman
keruhanian) itu di atas peringkat ilmu tersebut Bidang pengalaman keruhanian
itu ialah "rasa". Bidang ilmu ialah budi bicara akal. Bidang kepercayaan itu
ialah hanya menerima sahaja apa yang dipercayai dan dianuti oleh ibu-bapa dan
nenek-moyang, serta dengan sikap tidak syak wasangka terhadap dua kelas atau
golongan di atas tadi.
Sekarang tahulah saudara lima ruh
atau jiwa manusia. Kita teruskan sekarang perbincangan kita. Semua itu adalah
cahaya kerana melalui ruh-ruh itulah, segala benda-benda yang wujud itu boleh
terlihat; termasuk perkara-perkara di dalam deria dan khayalan. Meskipun
binatang-binatang nampak benda-benda itu, tetapi manusia mempunyai kebolehan
yang lebih halus dan lebih tinggi kerana kebolehan-kebolehan itu dijadikan untuk
manusia menggunakannya untuk tujuan yang lebih tinggi dan mulia yang berbeza
daripada binatang. Bagi binatang, kebolehan memandang itu dijadikan sebagai
alat untuk mencari makan dan untuk menundukkan mereka itu bagi manusia. Tetapi
bagi manusia, kebolehan memandang tersebut adalah bertujuan untuk mempelajari
dan mengkaji ilmu-ilmu keagamaan. Misalnya seseorang ini mungkin memandang
dengan deria lihatnya seseorang yang lain dan akan memahami melalui akalnya,
idea yang menyeluruh dan mutlak sebagaimana kita lihat dalam contoh diberikan
mengenai Abdullah bin Auf itu.
Bersambung ke Bahagian Terakhir yang
membicarakan tentang
pemakaian kata Ayat An-Nur dan
Hadi berkenaan Hijab
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.