Pekerjaan hajji menurut
syariat ialah mengunjungi ka’abah di Makkah. Ada beberapa syarat berhubung
dengan ibadat hajji: memakai ihram – dua helai kain yang tidak berjahit
menandakan pelepasan semua ikatan duniawi; memasuki Makkah dalam keadaan
berwuduk; tawaf keliling ka’abah sebanyak tujuh kali tanda penyerahan
sepenuhnya; lari-lari anak dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali; pergi ke
Padang Arafah dan tinggal di sana sehingga matahari terbenam; bermalam di
Musdalifah; melakukan korban di Mina; meminum air zamzam; melakukan sembahyang
dua rakaat berhampiran dengan tempat Nabi Ibrahim a.s pernah berdiri. Bila semua
ini dilakukan pekerjaan hajji pun sempurna dan balasannya diperakui. Jika
terdapat kecacatan pada pekerjaan tersebut balasannya dibatalkan. Allah Yang
Maha Tinggi berfirman: “Sempurnakan hajji dan umrah kerana Allah”. (Surah al-Baqarah, ayat 196).
Bila semua itu telah selesai
banyak daripada hubungan keduniaan yang ditegah semasa pekerjaan hajji
dibolehkan semula. Sebagai tanda selesainya pekerjaan hajji seseorang itu
melakukan tawaf terakhir sekali sebelum kembali kepada kehidupan harian.
Ganjaran untuk orang yang
mengerjakan hajji dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya: “Dan barangsiapa masuk ke dalamnya
amanlah ia, dan kerana Allah (wajib) atas manusia pergi ke rumah itu bagi yang
berkuasa ke sana”. (Surah al-‘Imraan, ayat
97).
Orang yang sempurna ibadat
hajjinya selamat daripada azab neraka. Itulah balasannya.
Pekerjaan hajji kerohanian
memerlukan persiapan yang besar dan mengumpulkan keperluan-keperluan sebelum
memulakan perjalanan. Langkah pertama ialah mencari juru pandu, pembimbing,
guru, seorang yang dikasihi, dihormati, diharapkan dan ditaati oleh orang yang
mahu menjadi murid itu. Pembimbing itulah yang akan membekalkan murid itu bagi
mengerjakan hajji kerohanian, dengan segala keperluannya.
Kemudian dia mesti
menyediakan hatinya. Untuk menjadikannya jaga seseorang itu perlu mengucapkan
kalimah tauhid “La ilaha illa Llah” dan mengingati Allah dengan menghayati
kalimah tersebut. Dengan ini hati menjadi jaga, menjadi hidup. Ia hendaklah
mengingati Allah dan berterusan mengingati Allah sehingga seluruh diri batin
menjadi suci bersih daripada selain Allah.
Selepas penyucian batin
seseorang perlu menyebutkan nama-nama bagi sifat-sifat Allah yang akan
menyalakan cahaya keindahan dan kemuliaan-Nya. Di dalam cahaya itulah seseorang
itu diharapkan dapat melihat ka’abah bagi hakikat rahsia. Allah memerintahkan
Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s melakukan penyucian ini:
“Janganlah engkau
sekutukan Aku dengan sesuatu apa pun dan bersihkan rumah-Ku untuk orang-orang
tawaf, dan yang berdiri, dan yang rukuk, dan yang sujud”. (Surah al-Hajj, ayat 26).
Sesungguhnya ka’abah zahir
yang ada di Makkah dijaga dengan bersih untuk para pekerja hajji. Betapa lebih
lagi kesucian yang perlu dijaga terhadap ka’abah batin yang ke atasnya hakikat
akan memancar.
Selepas persediaan itu
pekerja hajji batin menyelimutkan dirinya dengan roh suci, mengubah bentuk
kebendaannya menjadi hakikat batin, dan melakukan tawaf ka’abah hati, mengucap
di dalam hati nama Tuhan yang kedua- “ALLAH”, nama yang khusus bagi-Nya. Ia
bergerak dalam bulatan kerana laluan rohani bukan lurus tetapi dalam bentuk
bulatan. Akhirnya adalah permulaannya.
Kemudian ia pergi ke Padang
Arafah hati, tempat batin yang merendahkan diri dan merayu kepada Tuhannya,
tempat yang diharapkan seseorang dapat mengetahui rahsia “La ilaha illa Llah”,
“Yang Maha Esa, tiada sekutu”. Di sana ia berdiri mengucapkan nama ketiga “HU” –
bukan sendirian tetapi bersama-Nya kerana Allah berfirman: “Dia beserta kamu walau di mana kamu berada”. (Surah al-Hadiid, ayat 4).
Kemudian dia mengucapkan nama
keempat “HAQ”, nama bagi cahaya Zat Allah – dan kemudian nama kelima “HAYYUN” –
hidup Ilahi tang darinya hidup yang sementara muncul. Kemudian dia menyatukan
nama Ilahi Yang Hidup Kekal Abadi dengan nama keenam “QAYYUM” – Yang Wujud
Sendiri, yang bergantung kepada-Nya segala kewujudan. Ini membawanya kepada
Musdalifah yang di tengah-tengah hati.
Kemudian dia di bawa ke Mina,
rahsia suci, intipati atau hakikat, di mana dia ucapkan nama yang ke tujuh
“QAHHAR” – Yang Meliputi Semua, Maha Keras. Dengan kekuasaan nama tersebut
dirinya dan kepentingan dirinya dikorbankan. Tabir keingkaran ditiupkan dan
pintu kebatilan diterbangkan.
Mengenai tabir yang
memisahkan yang dicipta dengan Pencipta, Nabi s.a.w bersabda, “Iman dan kufur
wujud pada tempat di sebalik arasy Allah. Keduanya adalah hijab memisahkan Tuhan
daripada pemandangan hamba-hamba-Nya. Satu adalah hitam dan satu lagi putih”.
Kemudian kepada roh suci
dicukurkan daripada segala sifat kebendaan.
Dengan membaca nama Ilahi ke
lapan “WAHHAB” – Pemberi kepada semua, tanpa batas, tanpa syarat – dia memasuki
daerah suci bagi Zat. Kemudian dia mengucapkan nama kesembilan “FATTAH” –
Pembuka segala yang tertutup.
Memasuki ke tempat menyerah
diri di mana dia tinggal mengasingkan diri, hampir dengan Allah, dalam keakraban
dengan-Nya dan jauh daripada segala yang lain, dia mengucapkan nama yang ke
sepuluh “WAHID” – Yang Esa, yang tiada tara, tiada sesuatu menyamai-Nya. Di sana
dia mula menyaksikan sifat Allah “SAMAD” – Yang menjadi sumber kepada segala
sesuatu. Ia adalah pemandangan tanpa rupa, tanpa bentuk, tidak menyerupai
sesuatu.
Kemudian tawaf terakhir
bermula, tujuh pusingan yang dalam tempoh tersebut dia mengucapkan enam
nama-nama yang terakhir dan ditambah dengan nama ke sebelas “AHAD” – Yang Esa.
Kemudian dia minum daripada tangan keakraban Allah. “Dan Tuhan mereka membuat mereka meminum minuman asli”. (Surah Insaan, ayat 21).
Cawan yang di dalamnya
minuman ini disediakan ialah nama yang kedua belas “SAMAD” – Sumber, yang
menunaikan segala hajat, satu-satunya tempat meminta tolong.
Dengan meminum dari sumber
ini dia melihat semua tabir tersingkap daripada wajah keabadian. Dia mendongak
melihat kepada-Nya dengan cahaya yang datang daripada-Nya. Alam ini tiada
persamaan, tiada bentuk, tiada rupa. Ia tidak mampu diterangkan, diibaratkan,
alam yang tidak ada mata pernah melihatnya, tiada telinga pernah mendengarnya
dan tiada hati manusia yang ingat. Kalam Allah tidak didengar dengan bunyi atau
dilihat dengan tulisan. Kesukaan yang tiada hati manusia boleh merasai ialah
kelazatan menyaksikan hakikat Allah dan mendengar percakapan-Nya:
“Kecuali orang
yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah
akan tukarkan kejahatan-kejahatan mereka kepada kebaikan-kebaikan”. (Surah al-Furqaan, ayat 70).
Kemudian pekerja hajji itu
dibebaskan daripada semua perbuatan yang daripada dirinya dan bebas daripada
ketakutan dan dukacita. “Ketahuilah sesungguhnya pembantu-pembantu Allah,
tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak akan mereka berdukacita”. (Surah Yunus, ayat 62).
Akhirnya tawaf selamat
tinggal dilakukan dengan mengucapkan semua nama-nama Ilahi.
Kemudian pekerja hajji
kembali ke rumahnya, ke tempat asalnya, bumi suci di mana Allah ciptakan manusia
dalam bentuk yang paling baik dan paling indah. Ketika kembalinya itu dia
mengucapkan nama kedua belas “SAMAD”, perbendaharaan yang daripadanya semua
keperluan makhluk dibekalkan. Itu adalah alam kehampiran Allah. Itulah tempat
kediaman pekerja hajji batin, dan ke sanalah mereka kembali.
Hanya itulah yang dapat
diceritakan sekadar lidah mampu ucapkan dan akal mampu terima. Selepas itu tiada
berita yang boleh diberi kerana selebih daripada itu tidak boleh disaksikan,
tidak dimengerti, tidak mampu difikir atau diterangkan. Nabi s.a.w bersabda,
“Ada ilmu yang tinggal tetap seumpama khazanah yang tertanam. Tiada siapa yang
boleh mengetahuinya dan tiada siapa boleh mendapatkannya melainkan mereka yang
menerima ilmu Ilahi”, tetapi bila diperdengarkan kewujudan ilmu demikian, yang
ikhlas tidak menafikannya.
Manusia yang memiliki
pengetahuan biasa mengumpulkan apa yang boleh dikumpulkan di permukaan. Orang
yang memiliki ilmu ketuhanan mengeluarkan dasarnya. Hikmah kebijaksanaan orang
arif adalah sebenar-benar rahsia bagi Allah Yang Maha Tinggi. Tiada siapa yang
tahu apa yang Dia tahu kecuali Dia sendiri. “Sedang mereka tidak meliputi (sedikit pun) daripada
ilmu-Nya kecuali apa yang dikehendaki-Nya. Pengetahuan-Nya meliputi
langit-langit dan bumi, dan memelihara keduanya tidaklah berat bagi-Nya”. (Surah al-Baqarah, ayat 255).
Mereka yang dirahmati, yang
dikurniakan sebahagian ilmu-Nya adalah nabi-nabi dan kekasih-Nya yang berjuang
untuk datang hampir kepada-Nya. Firman-Nya: “Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi”.
(Surah Ta Ha, ayat 7). “Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Kepunyaan-Nya
nama-nama yang sangat baik”. (Surah Ta Ha, ayat
8).
Dan Allah paling mengetahui.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.