Ada dua jenis zakat: zakat
yang diajarkan oleh syariat dan zakat kerohanian yang berlainan sifatnya. Zakat
yang diajarkan oleh syariat ialah mengeluarkan daripada barang-barang dalam
dunia ini. Setelah ditolak jumlah tertentu yang diperuntukkan sebagai kegunaan
keluarga, satu bahagian dibahagikan kepada orang miskin. Zakat rohani
Bagaimanapun diambil daripada perolehan barangan akhirat. Ia juga diberikan
kepada orang miskin, iaitu miskin kerohanian.
Zakat adalah memberi bantuan
kepada orang miskin. Allah perintahkan: “Sedekah-sedekah itu untuk faqir-faqir dan miskin”.
(Surah at-Taubah, ayat 60).
Apa juga yang diberi untuk
tujuan ini sampai kepada tangan Allah Yang Maha Tinggi sebelum dihantar kepada
yang memerlukannya. Jadi, tujuan zakat dan sedekah ini bukanlah terutamanya
untuk membantu yang memerlukan, kerana Allah adalah Pemberi kepada semua yang
memerlukan, tetapi supaya niat baik pemberi zakat dan sedekah itu diterima oleh
Allah.
Mereka yang hampir dengan
Allah menjadikan ganjaran rohani daripada perbuatan baiknya sebagai kebaktian
kepada orang yang berdosa. Allah Yang Maha Tinggi menyatakan keampunan-Nya
mengampunkan orang-orang yang berdosa mengikut kadar doa, permohonan, pujian,
puasa, sedekah, hajji dan lain-lain kebaikan para hamba-Nya yang berhasrat
mengorbankan ganjaran kerohanian yang mereka harapkan sebagai hasil daripada
ibadat dan ketaatan mereka, Allah dengan kemurahan-Nya menutup dan
menyembunyikan dosa para pendosa sebagai balasan terhadap kebaktian para
hamba-Nya yang baik-baik.
Kemurahan hati
hamba-hamba-Nya yang beriman hingga kepada peringkat mereka tidak memiliki
apa-apa lagi, tidak menyimpan sesuatu apa pun untuk diri mereka, hinggakan tidak
ada nama baik dari kebaikan mereka juga tidak ada harapan untuk balasan akhirat.
Orang yang memasuki jalan ini kehilangan segala-galanya termasuklah kewujudan
dirinya sendiri. Dia menjadi muflis sepenuhnya kerana dia benar-benar murah
hati. Allah mengasihi orang yang murah hati sampai kepada peringkat muflis
seluruhnya pada dunia ini. Nabi s.a.w bersabda, “Orang
yang membelanjakan semua yang dimilikinya dan tidak berharap untuk memiliki
apa-apa berada di dalam penjagaan Allah di dunia dan akhirat”.
Rabiatul Adawiyah berdoa,
“Wahai Tuhan. Berikan semua bahagianku daripada dunia ini kepada orang-orang
kafir dan jika ada bahagianku di akhirat bahagikannya kepada hamba-hamba-Mu yang
beriman. Apa yang aku inginkan dalam dunia ini ialah merindui-Mu dan yang aku
inginkan di akhirat ialah bersama-Mu, kerana manusia dan apa sahaja yang
diperolehinya adalah milik-Mu”.
Allah membalas sehingga
sepuluh kali ganda kepada orang yang bersedekah. “Barangsiapa kerjakan kebaikan maka
baginya (ganjaran) sepuluh kali ganda”. (Surah al-An’aam, ayat
160).
Faedah lain daripada sedekah
ialah kesan penyuciannya. Ia menyucikan harta dan diri seseorang. Jika diri
dibersihkan daripada sifat-sifat ego maka tujuan sedekah atau zakat batin
(kerohanian) tercapai.
Memisahkan seseorang dengan
apa yang dia anggap sebagai miliknya mendatangkan balasan yang berganda di
akhirat: “Siapakah
yang hendak meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik lalu Dia gandakan
(ganjaran) baginya, padahal (adalah) baginya ganjaran yang mulia?” (Surah al-Hadiid, ayat 11).
“Berbahagialah orang yang membersihkannya
(jiwanya)”. (Surah asy-Syams, ayat
9).
Zakat, ‘sedekah yang indah’
adalah perbuatan yang baik, sebahagian daripada yang kamu terima, kebendaan dan
kerohanian. Belanjakanlah kerana Allah, kepada Allah. Walaupun balasan berganda
dijanjikan jangan pula melakukannya kerana balasan tersebut. Berikan zakat dan
sedekah secara mengambil berat, dengan kasih sayang dan kasihan belas bukan
sebagai budi, mengharapkan pujian, membuat penerima merasa terhutang budi dan
terikat.
“Wahai
orang-orang yang beriman. Janganlah kamu batalkan (pahala) sedekah kamu dengan
bangkitan dan gangguan”. (Surah al-Baqarah, ayat
264).
Jangan meminta dan
mengharapkan faedah keduniaan bagi perbuatan baik kamu. Lakukannya kerana Allah
semata-mata. Firman Allah: “Kamu tidak akan dapat (balasan) kebaikan kecuali
kamu mendermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan sesuatu apa yang
kamu dermakan itu Allah mengetahui akan dia”. (Surah
al-‘Imraan, ayat 92).
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.