Mimpi yang dimimpikan di
antara masa seseorang hampir lena hingga dia tidur lena adalah benar dan
berfaedah. Mimpi-mimpi ini selalunya merupakan pembawa pembukaan dan perantaraan
kepada yang luar biasa. Bukti kebenaran mimpi dinyatakan oleh Allah dengan
firman-Nya: “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar
kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan
aman”. (Surah al-Fath, ayat 27).
Dan memang benar Nabi s.a.w
memasuki kota Makkah yang masih dikuasai oleh musuh-0musuh baginda, tahun
sesudah baginda bermimpi. Contoh lain ialah mimpi Nabi Yusuf a.s:
“Tatkala Yusuf
berkata kepada bapanya, ‘Wahai bapaku, sesungguhnya aku melihat sebelas bintang
dan matahari serta bulan – aku lihat – bersujud kepadaku”. (Surah Yusuf, ayat 4).
Nabi s.a.w bersabda,
“Tidak ada nabi yang datang selepas aku tetapi boleh
datang pembukaan-pembukaan yang lain. Orang yang beriman akan melihat pembukaan
itu dalam mimpi mereka atau pembukaan itu akan ditunjukkan kepada mereka
menerusi mimpi”. “Bagi mereka pembukaan tentang khabar baik dalam
dunia ini dan di akhirat”. (Surah Yunus, ayat
64).
Mimpi datangnya dari Allah
tetapi kadang-kadang ada juga yang datang dari syaitan. Nabi s.a.w bersabda,
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi sesungguhnya dia
benar-benar melihatku kerana syaitan tidak dapat mengambil bentukku”.
Syaitan juga tidak dapat mengambil bentuk mereka yang mengikut iman, jalan
kebenaran, makrifat, kebenaran dan cahaya Nabi s.a.w. Orang arif mentafsirkan
hadis Nabi s.a.w di atas dengan mengatakan syaitan bukan sahaja tidak dapat
mengambil bentuk Nabi s.a.w malah syaitan juga tidak dapat berpura-pura mengakui
seseorang atau sesuatu yang ada sifat kemurahan dan kebaikan atau kasih sayang
dan lemah lembut dan beriman. Sesungguhnya Nabi-nabi, wali-wali, malaikat,
Masjidil haram, matahari, bulan, awan putih, Quran yang suci, merupakan
kewujudan yang ke dalamnya syaitan tidak boleh masuk juga tidak dapat mengambil
bentuk mereka. Ini kerana syaitan adalah tempat dan keadaan yang menzahirkan
kekerasan, hukuman dan kesengsaraan. Ia hanya boleh menggambarkan kekeliruan dan
keraguan. Bila seseorang sudah memiliki di dalam dirinya kenyataan nama Allah,
‘Pembimbing Mutlak Kepada Kebenaran’, bagaimana sifat yang membawa kekacauan itu
boleh menyata dalam dirinya? Sifat-sifat yang bertentangan satu sama lain tidak
boleh bertukar tempat, seperti air dengan api. Kemurkaan tidak dapat mengambil
tempat kemurahan, juga tidak boleh api menyerupai air. Mereka menolak sesama
mereka, mereka berjauhan, mereka kepunyaan ruang yang berlainan. Allah Pisahkan
kebenaran daripada kepalsuan: “Demikianlah Allah nyatakan kebenaran dan kepalsuan…
dengan misalan dan ibarat…”. (Surah ar-Ra’d, ayat
17).
Tetapi syaitan boleh mengaku
menjadi Allah dan menipu manusia, membawa mereka menjadi sesat. Ini hanya boleh
dilakukan dengan izin Allah. Allah mempunyai banyak sifat-sifat yang kelihatan
bertentangan satu sama lain. Misalnya sifat-Nya Yang Gagah dan Keras kelihatan
berlawanan dengan sifat-Nya Yang Indah dan Lemah-lembut. Syaitan dilaknati hanya
boleh berpura-pura mengambil watak kemarahan dan keperkasaan kerana ia secara
kejadian asalnya adalah bentuk menyatakan kekerasan Allah. Allah memiliki
kedua-dua sifat, Pembimbing Mutlak kepada kebenaran dan juga Pembawa kepada
kesesatan. Syaitan tidak boleh menjelma dengan watak sifat yang mengandungi
nilai pembimbingan. Jika syaitan berpura-pura menjelmakan sebarang sifat Allah,
ia lakukannya dengan kehendak dan izin Allah, bagi membimbing orang yang beriman
kepada kebaikan dengan menentang kejahatan, membawanya kepada kebenaran dengan
cara menentang kepalsuan. Dalam kenyataannya syaitan tidak ada sebarang kuasa
untuk merampas iman daripada seseorang yang beriman; ia hanya boleh mengambilnya
jika orang yang beriman itu sendiri mencampakkan imannya.
Allah memerintahkan Nabi-Nya
supaya: “Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan
orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah
(penyaksian yang jelas). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan
musyrikin”. (Surah Yusuf, ayat 108).
Dalam ayat ini ‘orang yang
mengikuti daku’ adalah manusia sempurna, guru kerohanian yang sebenar yang akan
datang selepas Nabi Muhamamd s.a.w, yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan
kebijaksanaan baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. Manusia yang
demikian digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar’. (Surah
al-Kahfi, ayat 17).
Ada dua jenis mimpi;
subjektif (memberi pandangan atau perasaan sendiri) dan objektif (bermatlamat),
masing-masing dibahagi kepada dua jenis. Jenis pertama mimpi subjektif ialah
bayangan atau gambaran suasana kerohanian yang tinggi dan hasil daripada
keharmonian, dan kelihatan dalam gambar seperti matahari, bulan, bintang,
pemandangan padang pasir putih bermandikan cahaya, taman syurga, mahligai, roh
yang cantik dalam bentuk malaikat dan lain-lain. Ini semua adalah sifat-sifat
hati yang murni. Jenis kedua mimpi subjektif mengandungi gambaran yang berkaitan
dengan suasana seseorang yang bebas daripada keresahan, yang mengenal diri dan
menemui ketenteraman fikirannya. Gambaran-gambaran ini adalah kelazatan yang dia
akan temui dalam syurga, bau-bauan dan suara di dalam syurga. Dia akan
bermimpikan beberapa jenis haiwan dan burung yang menyerupai yang paling cantik
yang jenisnya ada dalam dunia. Haiwan yang dilihat di dalam mimpi itu adalah
haiwan syurga. Misalnya, unta adalah haiwan syurga. Kuda dihantar sebagai haiwan
yang membawa tentera suci di dalam peperangan menentang orang-orang kafir di
sekelilingnya dan di dalamnya. Lembu jantan kepada Nabi Adam a.s bagi menenggala
tanah untuk ditanam gandum. Kambing biri-biri datangnya dari madu syurga, unta
diciptakan dari cahaya syurga, kuda daripada selasih manis di dalam syurga,
biri-biri daripada kunyit syurga.
Baghal menggambarkan suasana
terendah seseorang yang menemui hati dan fikiran yang tenang. Bila dia mimpikan
baghal itu tandanya dia cuai dan malas di dalam melakukan ibadat sebab hawa
nafsu badannya menahan, dan usaha kerohaniannya tidak memberi hasil. Kemudian
dia harus bertaubat dan teruskan melakukan kebajikan supaya dia akan mendapat
hasil.
Keldai diciptakan dari batu
syurga dan diberikan untuk berkhidmat kepada Nabi Adam a.s dan keturunannya.
Keldai adalah lambang jasad dan keperluan kebendaannya, ego dan pentingkan diri
sendiri. Jasad adalah haiwan yang membawa beban, membawa roh. Jika seseorang
menjadi hamba kepada jasad dia adalah umpama orang yang memikul keldai di atas
bahunya, tetapi manusia sebenar menunggangi keldai jasad kebendaannya. Jadi,
keldai melambangkan cara atau alat dia mengarahkan urusan akhiratnya di dalam
dunia ini.
Berkata-kata dengan jejaka
tampan dengan wajah yang berseri-seri adalah tanda kenyataan Ilahi sampai kepada
seseorang itu kerana mereka yang sudah memperolehi makrifat kepada kenyataan
Ilahi di dalam syurga akan muncul di dalam rupa yang cantik. Nabi s.a.w
menggambarkan orang demikian sebagai berkeadaan serba-kena, serba-elok, lemah
lembut dan mempunyai mata kehitaman yang indah. Baginda bahkan mengatakan, “Aku
lihat Tuhanku dalam rupa jejaka tampan”. Kerana Allah tidak menyerupai sesuatu,
hadis ini dimengertikan sebagai kenyataan sifat-sifat Allah Yang Maha Indah
digambarkan di dalam cermin roh yang suci. Gambaran ini dinamakan bayi bagi
hati. Rupa kebendaan, badan, adalah cermin kepada kebijaksanaan ketuhanan yang
mengajarkan dan membentuk kita. Gambaran ini juga adalah perhubungan di antara
hamba dengan Tuhan. Saidina Ali r.a berkata, “Jika aku tidak dibentuk oleh
Tuhanku aku tidak akan mengenal-Nya”.
Bagi pembentukan kerohanian,
seseorang itu memerlukan petunjuk, bimbingan dan teladan daripada pembimbing
yang masih hidup. Guru-guru yang menjadi pembimbing adalah nab-nabi dan
orang-orang yang hampir dengan Allah yang mewarisi kebijaksanaan nabi-nabi.
Melalui pengajaran mereka hati dan diri seseorang diterangi cahaya, menerangi
perjalanan mereka. Murid menemui roh yang diilhamkan di dalam dirinya melalui
mereka yang menjadi guru kerohanian tersebut. “Dia jualah yang tinggi darjat-Nya, yang memiliki
arasy. Dia kirimkan roh (dari perintah-Nya) kepada sesiapa yang Dia kehendaki
dari hamba-hamba-Nya buat Dia ancam dengan hari pertemuan”. (Surah Mukmin, ayat 15).
Untuk keselamatan hati kamu
mestilah mendapatkan guru yang mengilhamkan kamu dengan roh itu.
Imam al-Ghazali berkata,
“Tidak menjadi kesalahan bagi seseorang melihat Allah dalam mimpinya sebagai
gambaran yang indah. Gambaran itu adalah symbol menurut peringkat kerohanian
seseorang. Apa yang dilihat tentu sekali bukan Zat Yang Maha Suci yang tidak
serupa dengan sesuatu. Begitu juga Nabi s.a.w tidak dapat dilihat dalam rupa
baginda yang asli, kecuali mereka yang menjadi waris kepada hikmah kebijaksanaan
baginda, ilmu dan amalan baginda, dan yang mengikuti baginda secara keseluruhan.
Yang lain, bila mereka mimpikan Rasulullah s.a.w, mimpikan simbol menurut
kemampuan dan suasana mereka, tetapi mereka tidak sebenarnya melihat baginda”.
Kata qil (kata orang bijak
pandai), “Dibolehkan melihat Allah di dalam mimpi sebagai cahaya atau rupa
manusia”. Dia menyatakan Diri-Nya dalam bentuk sifat-sifat-Nya. Kepada Nabi Musa
a.s Dia kelihatan sebagai api pada pokok jujube yang terbakar. Itu adalah
penzahiran tentang Kalam Suci yang Nabi Musa a.s dengan sebagai Belukar
Terbakar, mengatakan,“Wahai Musa, apakah di tangan kamu?’
(Surah Ta Ha, ayat 15).
Apa yang kelihatan kepada
Musa a.s sebagai api adalah cahaya Ilahi. Dia melihatnya sebagai api menurut
peringkat dan hasratnya, kerana dia sedang mencari api. Bagi manusia, peringkat
kewujudan terendah pada dirinya ialah tumbuh-tumbuhan, kemudian haiwan. Apakah
yang ganjil jika manusia yang telah menyucikan dirinya daripada tahap-tahap
rendah itu sehingga menjadi manusia sempurna, melihat kenyataan Tuhan dizahirkan
sebagai Belukar Terbakar. Bagi manusia sempurna yang lain Allah menzahirkan
Kalam-Nya sebagai perkataan mereka sendiri, keluar daripada mulut mereka.
Bayazid al-Bustami berkata, “Zatku adalah Yang Maha Mulia. Betapa besarnya
kemuliaan daku”. Kalam Suci keluar daripada mulut Junaid al-Baghdadi, “Tiada
yang lain kecuali Allah di dalam jubahku”. Terdapat rahsia-rahsia besar di dalam
peringkat seperti ini yang dicapai oleh manusia sempurna. Terlalu sukar untuk
menerangkannya dan terlalu panjang untuk menghuraikannya. Ia hanya berkaitan
dengan mereka yang menghabiskan hayatnya mengejar ilmu batin.
Untuk menjadi penerima
penzahiran Ilahi dan untuk berhubung dengan roh Nabi s.a.w, seseorang mesti
diajar dan dididik dan dibawa ke peringkat kerohanian tersebut. Orang yang
baharu memasuki perjalanan kerohanian tidak boleh berharap dapat berhubung
dengan Allah dan Rasul-Nya. Di antara guru yang suci yang hampir dengan Allah
dan Rasul-Nya ada hubungan yang mengatasi zahiriah. Jika Nabi s.a.w masih hidup
seseorang boleh mengambil ilmu secara langsung daripada baginda dan tidak
perlulah kepada perantaraan. Tetapi oleh kerana baginda sudah wafat dan
berpindah kepada alam baqa, baginda berpisah dengan keadaan keduniaan dan
kebendaan. Jadi, seseorang tidak dapat berhubung secara langsung dengan baginda.
Hal yang sama juga terjadi pada guru yang benar. Bila mereka meninggal dunia
orang ramai tidak boleh lagi belajar dengan mereka.
Kamu akan faham jika kamu
mempunyai pengertian yang mendalam, jika kamu mencari bukan untuk menjadi luar
biasa. Mencari untuk memperolehi kefahaman ini dengan renungan mendalam, agar
kamu melepasi kegelapan ego diri kamu dengan cahaya yang dinyalakan. Kamu perlu
cahaya untuk melihat, untuk mengerti. Kamu tidak boleh melihat di dalam
kegelapan. Cahaya itu hanya jatuh pada tempat yang sesuai, yang teratur dan
suci, tempat yang mulia. Orang yang baharu, dengan dirinya sendiri, tidak dapat
meletakkan dirinya dalam kesesuaian dan sebab itu memerlukan guru.
Guru yang masih hidup
mestilah ada hubungan dengan Nabi s.a.w – iaitu jika dia benar-benar pewaris
suasana Nabi s.a.w. Dalam perjalanannya dia menerima bimbingan daripada Nabi
s.a.w dan diajarkan untuk menjadi hamba Allah yang sabar. Dengan bantuan ini dia
menjadi alat bagi penerusan jalan batin. Selebihnya adalah rahsia. Hanya orang
yang layak mengalaminya akan mengalaminya. “Bagi Allah jualah kemuliaan dan bagi Rasul-Nya dan
bagi orang mukmin”. (Surah Munafiquun, ayat
8).
Suasana yang mulia ini adalah
rahsia.
Latihan kerohanian bukanlah
perkara mudah. Roh kebendaan berada di dalam tubuh dan dilatih dengannya. Tempat
roh kerohanian di dalam hati. Tempat roh sultan adalah pusat hati. Tempat roh
kudus (roh suci) adalah rahsia. Rahsia itu adalah jalan yang menghubungkan yang
hak dengan orang yang beriman. Ia adalah juru bahasa, menterjemahkan yang hak
kepada si pencari, kerana rahsia itu kepunyaan Allah, adalah hampir dengan-Nya
dan amanah-Nya.
Ada juga mimpi akibat
kelakuan buruk. Ia menunjukkan sifat-sifat ego yang menguasai atau kesedaran
terhadap kesalahan tetapi dia tidak mampu menghentikannya.
Malah dalam suasana yang
lebih baik bila seseorang diingatkan oleh Allah tentang kesalahan dan dosanya
dia mimpikan haiwan liar seperti harimau dan singa, serigala dan beruang, anjing
dan babi jantan, dan haiwan-haiwan kecil – musang, arnab, kucing ular, kala
jengking dan haiwan yang memakan daging dan juga haiwan berbisa, haiwan yang
merosakkan.,
Untuk menyatakan sebahagian
kecil kejahatan yang ditunjukkan oleh gambaran-gambaran itu: Harimau adalah
simbol; ujub dan besar diri serta takabur yang sampai kepada peringkat angkuh
dengan Allah: “Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan
tidak mahu terima dia, maka tidak akan dibuka pintu-pintu langit dan tidak akan
mereka masuk syurga sehingga unta boleh masuk ke lubang jarum”. (Surah al-A’raaf, ayat 40).
Hukuman yang sama juga bagi
mereka yang angkuh dengan sesama manusia.
Serigala adalah simbol
kasihkan diri yang melampau dan inginkan pujian. Beruang melambangkan kemarahan
dan keberangan dan kezaliman ke atas orang yang dia kuasai. Serigala
melambangkan kerakusan tanpa memperdulikan haram dan halal, bersih atau kotor.
Anjing melambangkan kasihkan dunia dan huru harinya. Babi melambangkan
kedinginan, cita-cita tinggi, berendam dan hawa nafsu yang kuat. Musang
menunjukkan penipuan, pembohongan, menipu dalam urusan dunia. Arnab menunjukkan
kelakuan yang sama, kecuali dilakukan secara tidak sedar dan dalam kelalaian.
Harimau bintang – usaha yang digunakan tanpa pertimbangan dan menyakitkan hati,
juga ingin menjadi terkenal. Kucing – kebakhilan dan memutar belit. Ular –
berbohong, mengata-ngata, membuat tuduhan palsu dan menyakitkan orang lain
dengan perkataannya. Kala jengking – kritik yang tidak sihat, mempersendakan
orang dan tidak menerima mereka. Tebuan – bahasa kesat yang menyakitkan hati
orang.
Jika seseorang bermimpi
berlawan dengan salah satu daripada haiwan tersebut tetapi tidak dapat
mengalahkannya dia perlu memperkuatkan lagi usaha, ibadat dan ingatan secara
sedar, sehingga sekali pukul binatang itu dapat dihapuskan. Jika bermimpi
membunuh binatang itu bermakna dia telah berhenti melakukan kesalahan dan
menyakitkan hati orang lain. Allah berfirman: “Dia
akan hapuskan daripada mereka kejahatan dan Dia akan perbaiki keadaan mereka”.
(Surah Muhammad, ayat 2).
Jika dia bermimpi salah satu
daripada binatang itu berubah menjadi manusia itu tandanya suasananya yang salah
dahulu telah diperbetulkannya dan taubatnya diterima, kerana tanda sebenar
taubat diterima ialah ketidak-upayaan melakukan kesalahan yang sama.
“Kecuali orang
yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan akal salih, maka mereka itu Allah
tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan…” (Surah al-Furqaan,
ayat 70).
Bila seseorang diselamatkan
daripada kejahatan dan kesalahan dia mesti menjaganya sungguh-sungguh, jangan
berasa sudah selamat, kerana hawa nafsu dan ego mendapat kembali kekuatannya
melalui ingatan yang sedikit terhadap keingkaran, bangkangan dan kejahatan, dan
membawa seseorang kembali kepada cara lama. Suasana roh yang sejahtera dengan
mudah akan hilang. Tujuan Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya menahan diri
daripada yang haram adalah mengwujudkan amaran yang berterusan untuk menjaga
seseorang agar sentiasa berwaspada.
Ego jahat yang memerintah
kadang-kadang kelihatan dalam mimpi sebagai orang kafir; diri yang mengkritik
diri sendiri boleh kelihatan sebagai orang Yahudi; diri yang berperangsang
kadang-kadang kelihatan sebagai orang Kristian.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.