7. Wajah Allah:
Penerangan "mendalam" tentang perhubungan cahaya-cahaya ini dengan Allah..
Mungkin saudara ingin benar hendak tahu berkenaan wajah yang mana cahaya Allah itu dikaitkan dengan langit dan bumi, atau pun wajah yang mana Dia itu sendiri cahaya langit dan bumi. Inilah yang hendak kita bincangkan sekarang.
Sekarang saudara telah tahu bahawa
Allah itu cahaya, dan yang lain dari Dia tidak ada cahaya. Setiap cahaya
adalah Dia, dan juga cahaya keseluruhan adalah Dia juga.
-
Oleh kerana cahaya itu bermaksud sesuatu yang menzhohirkan atau yang menampakkan yang lain; atau
-
lebih tinggi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya dan untuknya yang lain dizhohirkan
-
bahkan lebih tinggi dari itu lagi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya untuk dirinya dan dirinya yang lain terzhohir.
Sekarang saudara tahu juga
bahawa apa sahaja digelar cahaya yang sebenarnya ialah sesuatu yang dengannya,
untuknya, dan diri yang lain itu terzhohir atau ternampak. Cahaya ialah yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya itu timbul dalam
dirinya, dari dirinya dan untuk dirinya. Cahaya tidak datang dari sumber yang
lain. Cahaya yang sedemikian itu tidak lain tidak bukan hanya Allah sahaja.
Saudara juga telah mengetahui bahawa langit dengan bumi ini dipenuhi dengan
cahaya, yang bersangkutan dua peringkat cahaya, iaitu pandangan mata dan
pandangan akal.
Cahaya yang pertama itu ialah apa
yang kita lihat di langit seperti matahari, bulan dan bintang; dan apa yang
kita lihat di bumi, seperti sinaran cahaya yang melimpahi seluruh muka bumi,
yang menampakkan semua warna, bentuk, binatang, tumbuh-tumbuhan dan
benda-benda lain dalam semua keadaan; dan jika tiada cahaya ini, maka tidaklah
kita nampak warna, atau tidaklah ada warna.
Tiap-tiap bentuk dan saiz (besar atau
kecil) yang terlihat oleh kita adalah diketahui oleh warna, dan tidak mungkin
melihatnya tanpa warna.
Berkenaan cahaya Akal, maka Alam
Tinggi itu dipenuhi oleh cahaya itu, iaitu seperti kejadian malaikat; dan Alam
Rendah ini pun dipenuhi oleh cahaya itu iaitu seperti hidup (nyawa) binatang
dan hidup manusia. Susunan atau keadaan Alam Rendah ini dizhohirkan dengan
cahaya malaikat. Inilah susunan atau keadaan yang disebut oleh Allah;
-
"Dialah yang membentuk kamu dari tanah, dan menampakkan kamu di permukaan bumi, agar Dia menjadikan kamu sebagai khalifah di atas muka bumi" dan
-
"menjadikan kamu khalifah di muka bumi', dan
-
"Sesungguhnya aku adalah khalifah di muka bumi". (Al-Quran)
Oleh yang demikian, saudara lihat
bahawa seluruh alam ini dipenuhi oleh cahaya pandangan zhohir dan cahaya Aqal
Batin, dan juga cahaya-cahaya tingkat rendah ini dipancarkan atau dikeluarkan
kepada satu dari yang lain. Umpama cahaya yang keluar dan terbit dari sebuah
lampu; sementara lampu itu sendiri ialah Cahaya Kenabian yang tinggi. Ruh-ruh
Kenabian itu dinyalakan dari ruh-ruh yang tinggi, seperti lampu dinyalakan
api, dan ruh-ruh yang tinggi ini dinyalakan kepada satu dari yang lain.
Susunan ini adalah
berperingkat-peringkat ke atas. Semua ini naik naik ke atas sampai ke cahaya
bagi segala cahaya. Sumber dan punca segala cahaya iaitu
Allah. Semua cahaya-cahaya lain adalah pinjaman dari Allah dan
Dialah sahaja cahaya sebenarnya. Segalanya datang dari cahayaNya, bahkan
Dialah segala-galanya. Dialah yang sebenarnya ada. Tiada cahaya kecuali Dia.
Cahaya yang lain hanya cahaya wajah yang menyertaiNya, bukan terbit dari diri
mereka sendiri..
Oleh yang demikian, wajah dan muka
segala sesuatu menghadap kepada Dia dan menghala kepadaNya. Firman Allah;
"Kemana sahaja
mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran).
Tiada Tuhan selain Dia, kerana
perkataan "TUHAN" itu menunjukkan sesuatu yang
kepadaNya semua muka menghadap dalam ibadat dan dalam penyaksian Dialah Tuhan.
Saya (Imam Ghazali) maksudkan iaitu muka atau wajah manusia iaitu hati manusia,
kerana hati itulah cahaya dan ruh. Bahkan sebagaimana;
"TIADA YANG
DISEMBAH MELAINKAN DIA",
maka begitulah juga ;
"TIADA YANG
MENYEMBAH SELAIN DIA",
kerana perkataan "DIA" itu
membawa maksud sesuatu yang boleh ditunjukki. Tetapi dalam tiap-tiap perkara
dan sebarang keadaan dan hal, kita boleh menunjuk sahaja. Setiap kali saudara
menunjuk sesuatu, tunjukkan itu pada hakikatnya adalah kepada Dia,
meskipun saudara tidak sedar oleh kerana kejahilan saudara tentang hakikat
bagi segala hakikat, yang mana telah kita bincangkan dulu.
Seseorang itu tidak mungkin menunjuk
cahaya matahari, tetapi boleh menunjuk matahari. Maka begitu jugalah halnya
dengan perhubungan segala sesuatu (makhluk) dengan Allah. Perumpamaan
perhubungan makhluk dengan Allah adalah seperti perhubungan cahaya matahari
dengan matahari.
Oleh itu, ucapan "TIADA TUHAN SELAIN ALLAH" adalah ucapan tauhid
kebanyakan orang.
Tetapi ucapan tauhid sedikit
orang(yang mempunyai makrifat) ialah "TIDAK ADA DIA
MELAINKAN DIA".
Yang pertama untuk orang awam, dan
yang kedua itu untuk "orang khusus". Yang kedua
itu lebih benar, lebih tepat dan lebih sesuai. sudah sewajarnyalah orang yang
mengucap demikian itu memasuki Alam Keesaan (Uluhiyah) dan Ketunggalan yang
Maha suci dan Mutlak; Kerajaan Yang Maha Esa dan Maha Tunggal, dan inilah peringkat atau kedudukan terkahir kenaikkan
manusia. Tidak ada tingkatan yang lebih tinggi dari itu lagi; kerana "NAIK"
itu melibatkan berbilang-bilang (banyak) seperti melibatkan dua tingkatan naik
"DARI" dan naik "KE". Apabila berbilang-bilang telah lenyap, maka terdirilah
Keesaan. Perbandingan tidak ada, semua isyarat atau pengucapan dari "SINI"
ke "SANA" pun tidak ada. Tidak ada lagi "TINGGI" atau "DALAM". Tidak ada
"ATAS" atau "BAWAH".
Dalam tingkatan tersebut, naik ke
atas lagi bagi ruh, tidak mungkin, kerana tidak ada lebih tinggi daripada yang
paling tinggi. Tidak ada berbilang-bilang (banyak) di samping Esa dan Tunggal.
Di sini berbilang-berbilang telah habis. Tidak ada kenaikkan (Mikraj) lagi bagi
jiwa dan ruh. Jika ada pun, ia adalah "pertukaran di sini".
Maka pertukaran itu ialah "Turun
ke langit yang paling rendah"; sinaran dari atas ke bawah, kerana yang
paling tinggi itu, meskipun tidak ada lebih tinggi lagi dari takat itu, tetapi
ada yang rendah. Inilah matlamat (tempat paling tinggi) dari segala matlamat.
Tempat paling tinggi ialah matlamat terakhir yang dicari oleh ruh, yang
diketahui oleh mereka yang tahu dan kenal, tetapi dinafikan oleh mereka yang
jahil. Ini termasuk dalm bidang Ilmu Tersembunyi yang
tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang yang mempunyai makrifat.
Sekiranya mereka memperkatakan ilmu ini, ia akan dinafikan oleh orang-orang
yang Jahil tentang Allah.
Tidak ada salahnya orang-orang yang
mempunyai makrifat ini menyebut; "Turun ke langit yang paling rendah"
iaitu turunnya seorang malaikat; meskipun seorang daripada mereka itu telah
disangkakan membuat penerangan yag kurang wajar. Dia tenggelam dalam Keesaan
Allah, dan berkata, bahawa Allah telah "turun ke langit paling rendah"
bahawa penurunan ini adalah penurunannya, diibaratkan kepada cara-cara keadaan
Alam zhohir, maka digunakan perumpamaan tersebut. Dia (orang yang tenggelam
dalm Keesaan Allah itu) itulah yang dimaksudkan oleh sabda Nabi Muhammad SAW.;
"Aku menjadi
telinganya yang dengannya dia mendengar; matanya yang dengannya dia melihat;
lidahnya yang dengannya dia bercakap".
Jika Nabi itu menjadi telinga, mata
dan lidah Allah, maka Allah sahajalah yang mendengar, melihat, bercakap.
Dialah juga yang dimaksudkan dengan dengan firmanNya kepada Nabi Musa;
"Aku sakit,
tetapi engkau tidak mengunjungi Aku".
Menurut ini, pergerakan badan
orang-orang yang betul-betul beriman dengan Kesaan Allah itu adalah dari langit
yang paling rendah itu, dan Aqalnya dari langit yang lebih tinggi dari langit
yang kedua itu. Dari langit Aqal itu dia naik ke atas ke sempadan di mana
makhluk tidak boleh naik lagi, iaitu Kerajaan Ketuhanan Yang Maha Esa, tujuh
lapis dan selepas itu "Dia duduk di atas singgahsana" tauhid dan situ
"Memerintah" seluruh lapisan-lapisan langit itu.
Orang telah tamat pengembaraan
sedemikian rupa, maka ayat ini boleh dipakai kepada dia;
"Allah menjadikan
Adam menurut bayanganNya"
Apabila ayat ini direnungi dan
difikirkan secara mendalam, maka diketahulah bahawa maksudnya adalah serupa
dengan kata-kata;
"Akulah Yang
Haq(Tuhan)".
"Maha suci
Aku"
atau sabda Nabi SAW. bahawa Allah
berfirman;
"Aku sakit, tetapi
engkau tidak mengunjungi Aku" dan
"Akulah telinganya,
matanya dan lidahnya".
Eloklah sekarang kita hentikan
perkara ini kerana saya(Imam Ghazali) fikir saudara belum ada mendengar lebih
dari apa yang sampaikan ini.
Bersambung ke tajuk
seterusnya...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.