8. Perkaitan
cahaya-cahaya ini dengan Allah; Penerangan
yang lebih mudah.
Mungkin saudara susah hendak faham dengan penerangan yang tersebut dahulu itu. Maka saudara rasa payah hendak faham. Maka di sini saya akan memberikan penerangan yang lebih mudah, agar saudara dapat memahaminya.
Maksud "Allah
itu cahaya langit dan bumi " boleh difahami jika dikiaskan kepada
cahaya biasa yang nampak itu. Apabila saudara melihat warna tumbuhan-tumbuhan
disiang hari- katalah warna hijau - saudara tentu menyangka yang saudara melihat
warna, dan mungkin saudara mengatakan saudara hanya melihat warna, tidak ada
yang lain lagi. Seolah-olah saudara mengatakan "Saya tidak nampak yang lain
kecuali warna hijau ". Memang banyak orang berdegil mengatakan demikian.
Kata mereka perkataan " cahaya " itu tidak ada ertinya, hanya kosong, kata
mereka apa yang nampak hanyalah warna. Dengan demikian, mereka menafikan
adanya cahaya meskipun cahaya itulah yang paling terang dan nyata sekali
terzohir daripada benda-benda lain. Kenapa tidak? Kerana dengan adanya cahaya
itulah benda-benda itu terzohir atau ternampak. Kerana cahaya itu sendiri
boleh kelihatan dan membuat benda-benda lain kelihatan, sebagaimana yang kita
bincangkan dulu.
Tetapi apabila matahari terbenam dan
lampu langit lenyap dari pandangan, dan bayangan atau gelap malam datang,
maka barulah orang-orang ini sedar adanya perbezaan antara bayangan atau gelap
dengan cahaya. Maka barulah mereka meyakini bahawa cahaya itu memang ada
disebalik semua warna dan dilihat bersama warna. Bolehlah dikatakan bahawa oleh
kerana paduan persatuan cahaya dengan warna itu, hinggakan cahaya itu tidak
disedari ada di situ, mungkin kerana terlampau terang dan nyata inilah
menyebabkan cahaya kelihatan. Mungkin kerana terlampau tarang dan nyata inilah
menyebabkan cahaya tidak kelihatan, kerana sesuatu yang melampaui dari
sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang berlawanan dengannya.
Jika penerangan ini telah jelas
kepada saudara, maka saudara hendaklah tahu selanjutnya iaitu mereka yang
dikurnai dengan pandangan sedemikian ini akan melihat Allah di samping sesuatu
benda itu. Mungkin ada yang berkata;
" Tidak saya lihat
sesuatu pun melainkan saya lihat Allah dahulu ".
Kerana ada di antara mereka yang
melihat benda-benda melalui Allah dan dalam Allah. Ada pula yang melihat
sesuatu benda itu dulu dan kemudian nampak Allah, dalam dan melalui benda-benda
itu.
Kepada kelas ( golongan ) yang
pertama itu, Al-Quran ada menerangkan;
" Tidakkah
cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya?".
Kepada kelas yang kedua ini dengan
ayat;
"Kami akan
tunjukkan kepada mereka tanda-tanda kami dalam seluruh alam dan diri mereka
sendiri ".
Bagi kelas ( golongan ) pertama,
mereka melihat Allah terus; dan yang kedua melihat Allah melalui
perbuatan-perbuatan atau kerja-kerjaNya(Allah). Yang pertama itu golongan
Aulia Allah; dan yang kedua itu golongan orang-orang Arif " yang telah yakin
dalam ilmunya." Selain dari dua golongan tersebut, tidak lain hanya
orang-orang yang lalai; di muka mereka ada hijab (tabir).
Oleh yang demikian saudara mengetahui
sekarang bahawa dengan adanya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan
nampak dan Allah itu membolehkan mata batin manusia melihat dan nampak kerana
Allah itu ada bersama segala sesuatu setiap ketika dan Dialah yang
menampakkan segalanya itu. Meskipun ada persamaan antara kedua itu, namun
perbezaannya ada juga. Cahaya biasa itu boleh hilang apabila matahari
terbenam, dan datanglah gelap yang menjadi hijab. Tetapi Cahaya Ketuhanan
itu tidak boleh hilang. Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan.
Mataharinya tidak pernah terbenam. Ia kekal selamanya dengan semua perkara.
Oleh itu cara membezakan (sebagai
cara untuk membezakan wujudnya Allah dengan perbuatanNya) tidaklah berupaya
kita. Jika rupa Allah itu boleh dilihat, maka akan hancurlah langit dan
bumi ini; dan oleh itu, melalui pembezaan, akan menerbitkan kesan dalam
fikiran, yang serentak memaksa pengenalan kepada sebab yang dengannya semua
perkara ternampak zohir. Tetapi sebagaimana yang kita lihat, semua kejadian
tetap sama dan tidak berubah-ubah pada pandangan kita kerana Ketunggalan yang
menjadikan mereka itu. Kerana "segala sesuatu memuji
Dia" (Al-Quran).
Ini bererti bukan setengah-setengah
perkara tetapi adalah segala-galanya, dan bukan kadang-kadang tetapi adalah
sentiasa. Dengan itu, pembezaan ini tidak timbul, dan jalan menuju melihat
rupa Allah itu terhalang. Kerana jalan yang paling terang menuju mengenal
benda-benda ialah melalui pertentangan atau lawannya. Benda-benda yang tidak
ada lawan ( OPPOSITEE ) atau sebaliknya, dan keadaanya sentiasa serupa
apabila kita melihatnya, akan menyebabkan besar kemungkinan pandangan kita
disilapkannya. Dalam hal ini, gelap atau tidak terang itu adalah akibat dari
terlalu terang dan nyatanya, dan dikelirukan atau disilapkan oleh sinarannya
yang terang itu. Maha Suci dan Agunglah Allah yang melindungkan dirinya
dari makhlukNya dengan kerana terangNya itu, dan terhijab dari pandangan
makhluk melalui SinarNya sendirinya yang terang benderang itu.
Mungkin juga keterangan ini tidak
difahami oleh setengah-setengah orang yang kurang pintar, dan mereka yang
membaca keterangan saya berkenaan " Allah bersama dengan segala
sesuatu", kerana cahaya ini ada bersama segala sesuatu. Mungkin mereka
memahami bahawa Allah itu ada setiap " tempat ". Maha Suci dan Maha Tinggi
Allah itu dikaitkan dengan " tempat ". Tidak usahlah kita menyangka yang tidak
terjangkau oleh akal. Saya tegaskan bahawa Allah itu terawal atau terdahulu
dari segala-galanya, dan diluar had sempadan jangkauan pemikiran makhluk. Dia
menzohirkan segala-segalanya. Bahawa "Yang menzohirkan "
itu tidak boleh dipisahkan diri "Yang menzohirkan", menurut segi pandangan si
pemikir. Inilah apa yang kita maksudkan bahawa Allah bersama dengan segala
sesuatu.
Saudara juga tentu tahu selanjutnya
bahawa "Yang menzohirkan" itu adalah terdahulu dan terlampau tinggi dari
jangkauan "Yang menzohirkan", meskipun dia "bersama" nya. Dia "bersama" nya dari satu aspek (wajah) dan "terlampau jangkauan" nya dari aspek yang lainnya.
Janganlah dianggap di sini ada
pertentangan atau perlawanan (CONTRADICTION). Atau, fikiranlah bagaimana dalam
Alam deria (yang mana tempat yang paling tinggi ilmu kita boleh maju ke atas)
gerak tangan "bersama " dengan gerak banyangnya; namun begitu gerak tangan itu
terdahulu dari banyangnya itu juga.
Barangsiapa yang tidak cukup pintar
untuk menyikirkan ini, maka hendaklah ia meninggalkan penyelidikan tentang
perkara ini, kerana:-
"Bagi setiap ilmu
ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan
baginya. "
Bersambung ke Bahagian Kedua
InsyaAllah jika dimudahkan;
..Pengetahuan
tentang ibarat atau perumpamaan mukaddimah kepada penerangan tentang
perumpamaan misykaat (ceruk), lampu, kaca, pokok, minyak dan
api.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.