Rd.Adi Kusuma

Rd.Adi Kusuma

Sabtu, 21 Juli 2012

Misykaatul Anwar 1. "Cahaya" sebagai cahaya biasa; sebagai mata, sebagai "Aqal"

1."Cahaya"sebagai cahaya biasa: sebagai "mata";  sebagai "Aqal"
 




Cahaya hakiki (yang sebenar) ialah Allah.  Lain daripada itu, nama "cahaya" adalah hanya perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud yang sebenar.

Untuk menerangkan perkara ini,  saudara hendaklah tahu bahawa perkataan "cahaya" itu digunakan di tiga tempat pengertian.

Pertama, digunakan oleh kebanyakan orang. Kedua,  digunakan oleh sedikit orang dan; Ketiga,  digunakan oleh beberapa orang sahaja.

Kemudian saudara hendaklah tahu berbagai-bagai peringkat cahaya yang berkaitan dengan yang kedua dan ketiga dan darjah-darjah hakikat yang ada bersangkutan dengan peringkat-peringkat tersebut,  agar dengan itu saudara dapat mengetahui,  setelah peringkat-peringkat ini menjadi bertambah terang kepada saudara,  bahawa Allah itulah cahaya paling tinggi dan terakhir.  Selanjutnya apabila hakikat yang berkaitan dengan tiap-tiap peringkat itu telah ternampak,  maka disedarilah bahawa Allah itu sahajalah yang hakiki,  cahaya sebenarnya,  dan yang lain tidak mempunyai cahaya apa-apa.

Pengertian Pertama

Sekarang mari kita bincangkan pengertian yang pertama.  Di sini perkataan "cahaya" menunjukkan "fenomena" atau kejadian.  Fenomena atau apa yang nampak ialah istilah relatif (bandingan dan berubah-ubah),  kerana sesuatu itu ternampak kepada sesuatu yang lain dari dirinya,  atau tersembunyi daripada sesuatu yang lain dari dirinya.  Maka dengan itu,  nampak atau tidak nampak adalah relatif sahaja.  Selanjutnya pula,  nampak dan tidak nampak itu adalah relatif (bandingan) kepada kebolehan memandang (Perceptive faculties).  Pada kebanyakan orang kebolehan memandang yang paling kuat dan terang ialah deria-deria (senses).  Satu daripada deria-deria itu ialah deria lihat atau penglihatan mata.  Benda-benda ini pula dari segi deria lihat terbahagi kepada jenis-jenis berikut;

1.  Tanda-tanda yang dengan sendirinya tidak boleh kelihatan, seperti benda-benda atau badan yang kelam (gelap).

2.  Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan,  tetapi tidak boleh membuat benda-benda lain kelihatan,  seperti bintang-bintang,  api yang sebelum menyala.

3.  Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan juga membuat benda-benda lain boleh kelihatan,  seperti bulan,  matahari,  atau lampu dan api yang menyala.

Nama cahaya ini diberi kepada golongan jenis yang mombor tiga(3) di atas itu.  Kadang-kadang kepada apa yang terpancar dari benda-benada yang bersinar ini dan pancaran itu terjatuh atau tertumpu kepada bahagian luar benda-benda yang kelam (tidak lut sinar) iaitu apabila kita katakan "bumi diterangi" ke dinding atau ke pakaian dan kadang-kadang kepada benda-benda yang bersinar itu sendiri kerana benda-benda itu bersinar dengan sendirinya.

Kesimpulannya,  cahaya ialah perkataan yang digunakan kepada apa yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan membuat yang lain kelihatan,  seperti matahari.  Inilah takrif (definisi) cahaya dan hakikat berkenaan cahaya menurut pengertian yang pertama itu.

Pengertian Yang Kedua

Kita telah lihat sekarang bahawa hakikat cahaya itu ialah apa yang nampak kelihatan oleh orang yang melihat;  dan penglihatan itu;  terkadang kepada wujudnya dua perkara iaitu;

  • 1.  cahaya.
  • 2.  mata yang melihat.

kerana meskipun cahaya itu adalah apa yang nampak dan disebabkan supaya nampak,  namun ia tidak nampak atau disebabkan supaya nampak kepada orang-orang buta.

Oleh  yang demikian,  ruh (safiriah) si pelihat adalah sama penting dengan cahaya yang boleh dilihat itu.  Ruh itu memainkan peranan penting dalam penglihatan bahkan ia lebih penting kerana ruh si pelihat itulah yang mengerti dan melalui ruh itulah fahaman atau pengertian terjadi atau terjelma.  Cahaya tidak ada pengertian dan tidak ada pengertian atau fahaman berlaku melaluinya.  Tetapi hanya semata-mata apabila ia ada hadir sahaja.

Sebenarnya perkataan "cahaya" itu ialah cahaya yang melihat yang kita namakan "mata".  Dengan demikian,  manusia memakai perkataan "cahaya" itu kepada cahaya mata.

Orang yang kabur matanya,  dikatakan "cahaya penglihatannya kabur". Orang yang lemah penglihatan dikatakan "cahaya pandangan matanya lemah". Orang yang buta dikatakan "cahayanya habis gelap"

Adalah dikatakan bahawa anak mata itu menumpukan "cahaya" pandangan dan memperkuatkannya.  Bulu mata pula dijadikan Allah berwarna hitam dan dijadikan untuk memandu dua biji mata itu pula berpusing-pusing supaya menumpukan "cahayanya."  Dikatakan juga mata putih itu menyelerakkan "cahaya mata" itu dan melimpahkannya,  dan memandang lama kepada permukaan putih berkilau,  atau lebih lagi memandang cahaya matahari akan menyilaukan "cahaya mata" itu dan mencacatkannya seperti mana permukaan yang lemah dicacatkan oleh permukaan yang kasar dan kuat.

Sekarang tahulah saudara bahawa ruh si pelihat itu digelar cahaya.  Kenapa digelar demikian itu dan kenapa sewajarnya digelar demikian itu?.  Inilah pengertian kedua yang diketahui oleh sedikit orang sahaja.

Pengertian Yang Ketiga.

Hendaklah saudara tahu selanjutnya iaitu cahaya penglihatan biasa itu mempunyai beberapa kekurangan atau kecacatan.

  • Ia melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
  • Ia juga tidak dapat melihat perkara yang sangat jauh atau yang sangat dekat.
  • Ia tidak dapat melihat perkara yang di belakang dinding.
  • Ia melihat yang diluar sahaja dan tidak nampak yang di dalam.
  • Ia melihat bahagian-bahagian sahaja bukan keseluruhan.
  • Ia melihat perkara yang terbatas atau terhad dan tidak nampak perkara yang tidak terbatas.
  • Dalam melihat itu pula,  ia banyak membuat kesalahan,  kerana apa yang sebenarnya besar,  pada pandangannya nampak kecil, apa yang jauh nampak dekat, apa yang diam nampak bergerak, apa yang bergerak nampak diam.

Inilah tujuh kecacatan yang ada pada mata biasa itu.

Jika ada mata lain yang tidak mempunyai kecacatan atau kekurangan tersebut di atas,  bukankah betul juga jika mata sedemikian itu diberi nama "Cahaya" juga?.

Ketahuilah bahawa ada sejenis mata di Alam Aqal atau jiwa manusia,  yang bebas dari kekurangan dari kecacatan yang ada pada mata biasa ini.  Itulah yang digelarkan "Aqal", "Ruh", "Jiwa".  Tetapi di sini eloklah kita tinggalkan sahaja beberapa istilah tersebut kerana istilah-istilah yang banyak itu menyebabkan orang yang kurang pintar fikirannya akan menyangka banyak pula idea-idea atau tanggapan-tanggapan yang dimaksudkan oleh istilah-istilah itu.  Apa yang kita maksudkan ialah sesuatu yang membezakan orang yang berfikiran dengan bayi,  dengan binatang dan dengan orang gila.  "Sesuatu itu"  kita katakanlah ia sebagai "Aqal".  Tak usahlah kita gunakan istilah-istilah seperti ruh atau jiwa itu,  supaya tidak mengelirukan perbincangan kita itu.  Kita pakai perkataan Aqal sahaja untuk semuanya.  Oleh yang demikian itu, aqal itu lebih baik kita namakan "cahaya" dan tidak dinamakan "mata" kerana "Aqal" itu tidak mempunyai tujuh macam kecacatan atau kekurangan yang tersebut tadi.

Kita bincangkan sekarang.

Kekurangan dan Kecacatan Pertama.

Mata itu tidak dapat melihat dirinya sendiri tetapi Aqal dapat melihat dirinya dan juga yang lain.  Ia melihat dirinya dan tahu yang ia ada diberi ilmu, kuasa dan lain-lain;  dan melihat ilmunya sendiri dan melihat ilmu bagi ilmunya,  dan seterusnya .  Inilah keadaan mata batin yang dinamakan Aqal itu.  Mata biasa (lahir) tidak mempunyai sifat-sifat seumpama itu.

Kekurangan dan Kecacatan Kedua.

Mata kasar atau mata biasa ini tidak dapat melihat apa yang sangat dekat dan juga yang sangat jauh.  tetapi bagi Aqal,  tidak ada bezanya antara dekat dan jauh.  Dengan sekelip mata, Aqal dapat naik ke langit yang paling tinggi,  sekelip mata juga ia menurun ke perut bumi.  Jadi,  jelaslah kepada kita bahawa Aqal itu tidak tertakluk kepada tanggapan atau idea "JAUH" dan "DEKAT",  yang mana kedua idea itu berpakai dalam Alam Kebendaan sahaja,  tetapi Aqal termasuk dalm bidang Yang Suci dan Tinggi.

Ini menunjukkan bahawa Aqal itu adalah satu pulau atau "ceruk" atau contoh sifat-sifat Ketuhanan.  Contoh ini pastilah bersesuaian atau sepadan dengan asalnya,  meskipun ia tidak sampai ke tingkat persamaan atau setaraf dan ini mungkin menyedarkan saudara tentang maksud yang sebenarnya berkenaan hadi Nabi SAW. yang bermaksud;

"Allah menciptakan Adam menurut bayanganNya sendiri".

Tetapi buat setakat ini tidaklah sesuai lagi kita bicarakan secara lebih mendalam tentang perkara ini.

Kekurangan dan Kecacatan Ketiga.

Mata kasar ini tidak dapat melihat apa yang di belakang dinding,  tetapi Aqal bebas lepas terbang sampai ke langit yang maha tinggi dan ke alamnya sendiri,  dan alam ghaib.  Hakikat sesuatu tidak terhijab kepada Aqal.  Yang menjadi hijab (tabir) padanya ialah yang dianggap sebagai kepentingan sendiri iaitu ibarat hijab yang dianggap oleh mata,  kerana kehendak sendiri,  apabila kulit mata di tutup.   Perkara ini akan kita bincangkan lagi di bab ketiga karangan ini.

Kekurangan dan Kecacatan Keempat.

Mata melihat bahagian luar sesuatu benda sahaja,  tetapi tidak melihat bahagian dalam benda itu.  Ini bererti mata kasar ini hanya nampak bentuk-bentuk benda itu sahaja,  bukan hakikat benda itu.  Tetapi Aqal menembusi batin benda itu dan terus ke rahsianya.

  • Ia mengetahui hakikat sesuatu dan juga jiwanya.
  • Ia dapat mengenal dan menimbulkan sebab-sebab dan hukum-hukum -
  • dari apa sala benda itu,
  • bagaimana terjadi berapa banyak bentuk-bentuk ideal(sempurna) yang ada padanya,
  • apa peringkat kejadiannya,
  • apa perhubungannya dengan kejadian yang lain,
  • dan banyak lagi.

Eloklah di sini kita ringkaskan sahaja.

Kekurangan dan Kecacatan Kelima.

Mata hanya melihat sebahagian sahaja daripada keseluruhan yang ada kerana semua konsep atau tanggapan dan banyaknya perkara yang dapat diketahui oleh pancaindera adalah di luar garisan pandangannya.  Ia (mata) tidak melihat bumi, bau, rasa dan tidak tidak mempunyai kebolehan mendengar, membau, merasa,  bahkan semua sifat-sifat kebatinan itu tidak terlihat olehnya.  Mata tidak nampak keadaan suka, duka,  sedih,   sakit,  seronok,  cinta,  kemahuan,  kuasa,  kehendak,  ilmu dan lain-lain lagi.  Oleh itu bidang mata kasar itu sangat sempit dan tindakannya terbatas.  Tidak dapat melebihi lingkungan bidang warna dan bentuk.  Warna dan bentuk adalah kejadian yang paling kasar kerana benda-benda yang zhohir atau tabiat ini adalah makhluk atau kejadian yang kasar.

Tetapi bidang Aqal ialah seluruh Alam Wujud, kerana ia mengetahui segala kejadian yang kita sebutkan tadi dan bebas meliputi segala yang lain juga,  dan dapat pula Aqal itu membuat keputusan yang tentu dan benar.  Itulah dia rahsia batin benda-benda yang zhohir dan itulah dia bentuk-bentuk tersembunyi bagi benda-benda zhohir.

Sebutkan kepada saya(Imam Ghazali) apa pula haknya mata kasar itu diberi taraf sama dengan Aqal dalam pemberian nama "cahaya" itu ?.  Sesungguhnya tidak.  Mata itu sebenarnya gelap.  Penglihatan adalah semata-mata satu daripada alat pengintip bagi Aqal.  Aqal memberi mata satu tugas untuk melihat perkara yang kasar,  iaitu warna dan bentuk,  Aqal menyuruh mata membawa laporan tentang warna dan bentuk tadi kepada Tuhannya,  yang akan menghakimkan menurut arahan penelitian dan pertimbangan Aqal itu.  Begitu jugalah dengan kebolehan-kebolehan yang lain.

Tetapi alat pengintip Aqal - khayalan, fantasi (bayangan fikiran),  pemikiran,  ingatan,  dan di belakang mereka adalah hamba-hamba abdi yang menjalankan tugas mereka dalam dunia mereka sekarang ini.  Semua itu ada yang ditahan dan ada yang diberi kebebasan,  seperti mana bebasnya seorang raja menguasai hamba abdinya,  bahkan lebih bebas dari itu lagi.  Untuk menghuraikan perkara ini akan mengambil masa yang panjang dan perkara ini telah pun dihuraikan dalam kitab saya yang berjudul "Ihya Al-'Ulum" di bawah tajuk "Keajaiban fikiran".

Kekurangan dan Kecacatan Keenam.

Mata tidak boleh melihat apa yang tidak terhad.  Yang boleh dilihatnya ialah sifat-sifat benda yang diketahui dan semua itu adalah terhad dan terbatas.  Tetapi Aqal mengetahui tanggapan-tanggapan dan konsep bukanlah sesuatu yang terhad.  Memang benar berkenaan dengan ilmu yang telah dicapai,  isinya yang dikemukakan kepada Aqal itu adalah terhad.  Ia ada keupayaan mengetahui yang tidak terhad.  Ini jika hendak diterangkan sepenuhnya,  memang panjang,  tetapi jika saudara mahukan contoh, maka inilah satu contoh dari ilmu kira-kira.

Dalam ilmu ini Aqal memahami siri-siri angka bulat atau angka penuh (bukan pecahan) dan siri-siri ini tidak terhad.  Juga,  Aqal tahu angka-angka sebelum dua, tiga dan lain-lainnya;  dan ini pun tidak ada hadnya.  Aqal juga tahu semua perkaitan yang berbeza-beza antara nombor-nombor itu,  dan ini juga tidak terhad.  Akhirnya Aqal mengetahui pengetahuannya sendiri tentang sesuatu perkara.  Tahunya tentang pengetahuan itu pun tidak terbatas.

Kekurangan dan Kecacatan Ketujuh.

Mata nampak benda yang besar itu kecil.  Ia melihat matahari sebesar mangkuk dan bintang sebesar wang syiling yang bertaburan di atas permaidani biru.  Tetapi Aqal mengetahui bahawa matahari dan bintang itu besar,  bahkan lebih besar dari bumi.  Kepada mata,  bintang-bintang itu nampak tidak bergerak;  dan kanak-kanak nampaknya tidak juga tinggi badannya.  Tetapi bagi Aqal,  ia tahu kanak-kanak itu semakin tinggi badannya berikutan dengan meningkatkan umurnya.  Bintang itu bergerak dengan pantas melalui jarak yang beribu-ribu batu.

Dikatakan bahawa Nabi SAW. bertanya kepada Jibrail;

"Adakah matahari itu bergerak?"

Jibrail menjawab;

"Tidak - Ya".

Nabi bertanya lagi;

"Bagaimanakah itu?"

Jibrail menjawab;

"Antara aku berkata tidak dan ya itu,  matahari telah bergerak sejauh 500 tahun perjalanan".

Oleh yang demikian,  kesilapan dan kekurangan pandangan mata itu memang banyak,  tetapi Aqal melampaui semua itu dan tidak ada kesilapan yang demikian itu.

Mungkin saudara berkata bahawa ada saudara lihat orang yang cerdik itu membuat kesilapan dan kesalahan juga.  Jawab saya(Imam Ghazali) - Kebolehan khayalan dan fikiran mereka selalunya melalui pertimbangan mereka menghukumkannya dan ini menimbulkan keyakinan yang mereka anggap itulah keputusan yang dihukumkan oleh Aqal.  Kesilapan atau kesalahan itu terletak kepada kebolehan yang rendah itu.  Bacalah karangan saya tentang semua kebolehan ini dalam kerangan saya berjudul  "Mu'ayar al-Alim" dan "Muhaqiq An-Nadzhor".  Tetapi apabila Aqal dipisahkan dari dustaan dan tipuan fantasi dan khayalan,  maka kesalahan bagi Aqal itu tidak mungkin.

Aqal akan melihat itu sebagaimana sebenarnya.  Pemisahan ini sangatlah sukar,  dan hanya mencapai kesempurnaannya setelah mati.  Barulah waktu itu terang dan nyata kesalahan dan segala rahsia terbuka luas;  dan tiap-tiap orang akan bertemu dengan suka atau duka yang telah disediakan oleh dirinya  dan "lihatlah kitab yang merekodkan tiap-tiap pahala dan tiap-tiap dosa, tanpa satu pun yang tinggal". (Al-Quran).

Ketahuilah bahawa khayalan dan fantasi itu pun adalah hijab juga.  Oleh itu orang yang telah diperdayakan dan ditipu oleh khayalannya sendiri,  kepercayaan salahnya sendiri,  dan fikirannya yang sia-sia akan menjawab, "Tuhan kami!  Kami telah lihat engkau dan mendengar engkau.  Hantarkanlah kami kembali (ke dunia) dan kami akan membuat kebaikan.  Sesungguhnya sekarang kami yakin sebenar-benarnya". (Al-Quran).

Dari pandangan di atas tahulah saudara bahawa mata itu lebih tepat dipanggil "cahaya" dan bukan cahaya biasa yang dilihat oleh pancaindera itu,  dan selanjutnya,  Aqal itu lebih wajar digelar "Cahaya" dan bukannya mata.  Memang  benar dikatakan bahawa antara keduanya ada perbezaan yang besar nilainya,  sehingga kita boleh bahkan mesti menganggap bahawa Aqal itulah yang sebenarnya dinamakan "CAHAYA".

Tajuk berikutnya;




 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.