Rd.Adi Kusuma

Rd.Adi Kusuma

Minggu, 22 Juli 2012

SIRR AL-ASROR 2.PENGENALAN

Pengenalan

Segala puji dan puja untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang mengumpul segala pengetahuan di dalam Zat-Nya dan Dia jualah Pencipta segala pengetahuan dengan keabadian. Segala kewujudan bersumberkan  Wujud-Nya. Segala puji bagi Allah lantaran Dia menghantarkan Quran yang mulia yang mengandungi di dalamnya sebab-sebab ia diturunkan iaitu untuk memperingatkan manusia tentang Allah. Dihantarkan-Nya kepada pembimbing yang memandu manusia pada jalan yang benar dengan yang paling Perkasa di antara agama-agama. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang tidak diajar oleh makhluk tetapi diajar oleh-Nya sendiri. Baginda s.a.w adalah nabi-Nya yang terakhir, penyambung terakhir pada rantaian kenabian yang diutus kepada dunia yang sedang hanyut di dalam huru hara, yang paling mulia di kalangan nabi-nabi-Nya, dimuliakan dengan kitab suci yang paling suci dan paling mulia. Keturunan baginda s.a.w adalah pembimbing bagi orang-orang yang mencari. Sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah pilihan dari kalangan orang yang baik-baik dan murah hati. Semoga kesejahteraan dan keberkatan yang melimpah-limpah dikurniakan kepada ruh-ruh mereka.
Tentu sekali yang paling berharga di antara yang berharga, paling tinggi, permata yang tidak ternilai, barang perniagaan yang paling menguntungkan manusia, adalah ilmu pengetahuan. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mencapai keesaan Allah, Tuhan sekalian alam. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mengikuti rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-Nya. Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana, adalah hamba-hamba Allah yang tulen yang Dia pilih untuk menerima perutusan Ilahi. Dia lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan rahmat-Nya yang Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah pewaris nabi-nabi, pembantu-pembantu mereka, yang dipilih oleh rasul-rasul-Nya untuk menjadi khalifah kepada sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan perasaan yang amat seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi.
Allah Yang Maha Tinggi memuji orang-orang yang memiliki hikmah kebijaksanaan: “Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada mereka yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami, tetapi sebahagian daripada mereka menganiayai diri mereka sendiri, dan sebahagian daripada mereka cermat, dan sebahagian daripada mereka ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan dengan izin Allah, yang demikian adalah kurniaan yang besar”. (Surah Fatir, ayat 32).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Pemegang hikmah kebijaksanaan adalah pewaris nabi-nabi. Penduduk langit mengasihi mereka dan di atas muka bumi ini ikan-ikan di laut bertasbih untuk mereka hingga kepada hari kiamat”.
Dalam ayat lain Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Tidak takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya melainkan orang-orang yang berilmu Pengetahuan” (Surah Fatir, ayat 28).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Pada hari pembalasan, Allah akan mengumpulkan sekalian manusia, kemudian mengasingkan yang berilmu di antara mereka dan berkata kepada mereka: ‘Wahai orang-orang yang berilmu. Aku kurniakan kepada kamu ilmu-Ku kerana Aku mengenali kamu. Tidak aku kurniakan hikmah kebijaksanaan kepada kamu untuk Aku hukumkan kamu pada hari ini. Masuklah ke dalam syurga-syurga-Ku. Aku telah ampunkan kamu’ ”.
Segala puji milik Allah, Tuhan sekalian alam lantaran Dia kurniakan makam yang tinggi kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan memelihara mereka daripada dosa dan menyelamatkan mereka daripada diseksa. Dia berkati ahlul hikmah dengan menghampiri mereka.
Sebahagian daripada murid-murid kami meminta supaya kami sediakan sebuah buku yang memadai buat mereka. Sesuai dengan permintaan dan keperluan mereka kami siapkan buku yang ringkas ini Semoga ia dapat mengubati dan memuaskan mereka serta yang lain juga. Kami namakan buku ini “Sirr al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar” atau “rahsia dalam rahsia-rahsia yang Kebenarannya sangat diperlukan”. Dalam pekerjaan ini kenyataan di dalam kepercayaan dan perjalanan kami dibukakan. Setiap orang memerlukannya.
Dalam menyampaikan hasil kerja ini kami bahagikannya kepada 24 bab kerana terdapat 24 huruf di dalam pengakuan scui “La ilaha illah Llah, Muhammadun rasulu Llah” dan juga terdapat 24 jam dalam satu hari.

Sirr Al Asrar [Rahsia dalam rahsia] 1.Ucapan untuk para pembaca

(Petikan surat Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)
Sahabat-sahabatku yang dikasihi. Hati kamu adalah seumpama cermin yang berkilat. Kamu mesti membersihkannya daripada debu dan kekotoran yang menutupinya. Cermin hati kamu itu telah ditakdirkan untuk memancarkan cahaya rahsia-rahsia Ilahi.
Bila cahaya dari “Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi…” mula menyinari ruang hati kamu, lampu hati kamu akan menyala. Lampu hati itu “berada di dalam kaca, kaca itu sifatnya seumpama bintang berkilau-kilauan terang benderang…” Kemudian kepada hati itu anak panah penemuan-penemuan suci akan hinggap. Anak panah kilat akan mengeluarkan daripada awan petir maksud “bukan dari timur atau barat, dinyalakan dari pohon zaitun yang diberkati…” dan memancarkan cahaya ke atas pokok penemuan, sangat tulen, sangat lutsinar sehingga ia “memancarkan cahaya walaupun tidak disentuh oleh api”. Kemudian lampu makrifat (hikmah kebijaksanaan) akan menyala sendiri. Mana mungkin ia tidak menyala sedangkan cahaya rahsia Allah menyinarinya?
Sekiranya cahaya rahsia Ilahi bersinar ke atasnya, langit malam kepada rahsia-rahsia akan menjadi terang oleh ribuan bintang-bintang “…dan berpandukan bintang-bintang (kamu) temui jalan (kamu)…”. Bukanlah bintang yang memandu kita tetapi cahaya Ilahi. Lantaran Allah “…menghiaskan langit rendah dengan keindahan bintang-bintang”. Sekiranya lampu rahsia-rahsia Ilahi dinyalakan di dalam diri batin kamu yang lain akan datang secara sekaligus atau beransur-ansur. Sebahagiannya kamu telah ketahui sebahagian yang lain akan kami beritahu di sini. Baca, dengar, cuba fahamkan. Langit ketidaksedaran (kelalaian) yang gelap akan dinyalakan oleh kehadiran Ilahi dan kedamaian serta keindahan bulan purnama yang akan naik dari ufuk langit memancarkan “cahaya di atas cahaya” berterusan meninggi di langit, melepasi peringkat yang ditentukan sebagaimana yang Allah telah tentukan bagi kerajaan-Nya, sehingga ia bersinar penuh kemuliaan di tengah-tengah langit, menghambat kegelapan kelalaian. “(Aku bersumpah) demi malam apabila ia senyap sepi…dengan cuaca pagi yang cemerlang…” malam ketidaksedaran kamu akan melihat terangnya hari siang. Kemudian kamu akan menghirup air wangi kenangan dan “bertaubat di awal pagi” terhadap ketidaksedaran (kelalaian) dan menyesali umur kamu yang dihabiskan di dalam lena. Kamu akan mendengar nyanyian burung bulbul di pagi hari dan kamu akan mendengarnya berkata:
Mereka tidur sedikit sahaja di malam hari dan pada awal pagi mereka memohon keampunan Allah. Allah bimbingkan kepada cahaya-Nya sesiapa yang Dia kehendaki.
Kemudian kamu akan melihat di ufuk langit peraturan Ilahi akan matahari ilmu batin mula terbit. Ia adalah matahari kamu sendiri, Lantaran kamu adalah “yang Allah beri petunjuk” dan kamu “berada pada jalan yang benar” dan bukan “mereka yang Dia tinggalkan di dalam kesesatan”. Dan kamu akan memahami rahsia:
Tidak diizinkan matahari mengejar bulan dan tidak pula malam mendahului siang. Tiap sesuatu berjalan pada landasan (masing-masing).
Akhirnya ikatan akan terurai selaras dengan “perumpamaan yang Allah adakan untuk insan dan Allah mengetahui tiap sesuatu”, dan tabir-tabir akan terangkat dan kulit akan pecah, mendedahkan yang seni di bawah pada yang kasar. Kebenaran akan membuka tutupan mukanya.
Semua ini akan bermula bila cermin hati kamu dipersucikan. Cahaya rahsia-rahsia Ilahi akan memancar Padanya jika kamu berhajat dan bermohon kepada-Nya, daripada-Nya, dengan-Nya.

Sirr Al Asrar [Rahasia dalam rahasia] SYEIKH ABDUL QODIR AL-JAELANI

Sirr Al Asrar
[Rahasia dalam rahasia]








“Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan” [Qur’an, Surah At Taubah : 82]


Misykaatul Anwar Bahagian ketiga 4. Matlamat Yang Dicari.

Bahagian ketiga
4.  Matlamat Yang Dicari.
 


    Bagi mereka yang telah mencapai (Mengenal Allah dengan sebenarnya) akan mendapat yang keempat.  Kepada mereka diterangkan bahawa yang ditaati itu,  jika dikenalkan sebagai Allah,  tentu sekali disifatkan sebagai Yang Maha Esa dan Maha Sempurna.  Tujuan kitab ini bukanlah untuk menghuraikannya.  Antara yang ditaati ini dengan Wujud Hakiki itu ialah ibarat perkaitan matahari dengan dengan cahayanya atau sesuatu yang menyala dengan api;  dan dengan itu "memalingkan muka-muka mereka"  kepada  Dia Yang Menggerakkan langit  dan Dia Yang Mengeluarkan Perintahh(Amar) untuk gerak mereka,  dan mencapai satu Wujud yang melampaui semua yang dicapai oleh penglihatan mata atau kesedaran batin manusia.  Ini adalah kerana mereka dapati ianya melampaui dan berasingan dari setiap sifat yang kita sebutkan dulu.
    Yang ini pun terbahagi kepada beberapa kelas.  Bagi satu kelas dalam golongan ini,  seluruh apa yang nampak habis lenyap,  hapus dan fana;  namun begitu jiwa (ruh) itu sendiri tetap bertafakur tentang Keindahan dan Kekudusan Mutlak itu dan merenung dirinya dalam keindahanNya,  yang dikurnia kepadanya kerana ia telah mencapai Hadirat Ilahi.  Pada mereka, benda-benda yang nampak ini {tetapi bukan ruh yang melihat itu},  fana dan hancur sirnanya.
    Di atas peringkat tersebut ada lagi peringkat yang hanya dicapai oleh beberapa orang pilihan sahaja,  iaitu mereka yang hancur lebur dalam Keagungan Wajah Yang Maha Suci dan Kebesaran Tuhan Yang Maha Mulia.  Dan dengan ini mereka sendiri pun fana dan lenyap hilang.  Tidak ada lagi ruang bagi tafakur diri kerana tidak ada yang bersangkutan dengan diri.  Tidak ada lagi yang tinggal kecuali Allah.  Ruh akan mengalami firmanNya;  "Semuanya hancur musnah kecuali Wajahnya"-(Al-Quran). Berkenaan ini telah kita bincangkan dalam bab pertama dan telah diterangkan juga apakah maksud yang mereka gelarkan keadaan ini sebagai  "persamaan" dan bagaimana mereka memandang perkara ini.
    Demikian penjelasan kita tentang kelas-kelas orang yang terhijab juga di antara mereka itu  dalam perjalanan.  Tidak perlu naik peringkat demi peringkat,  dalam peringkat-peringkat yang telah kita sebutkan dulu,  dan kenaikan mereka itu tidak pula mengambil masa yang panjang dan lanjut,  tetapi hanya dalam masa yang singkat sahaja mereka telah mencapai makrifat dan mengakui Kebesaran dan Keagungan Allah itu melebihi segala-galanya.  Mereka mencapai peringkat makrifat ini dengan pantas sekali.  Kedatangan "Tajalli"  Tuhan melimpahi mereka sehingga "Keagungan WajahNya telah menelan"  segala yang diketahui dengan penglihatan deria atau kesedaran akal.
    Mungkin jalan pertama (berperingkat demi peringkat) itu adalah jalanya Nabi Ibrahim a.s. (KhalilulLah);  dan yang kedua (jalan pantas sekaligus) itu jalannya Nabi Muhamad SAW. (HabibulLah).  Allah sahaja Yang Maha Tahu rahsia kemajuan perjalanan mereka dan maqam-maqam (stesyen-stesyen)  mereka dalam perjalanan ini.
    Demikian penjelasan kita tentang kelas-kelas orang-orang yang terhijab oleh hijab-hijab.  Tidaklah hairan sekiranya semua maqam ini diperjeniskan sepenuhnya dan dikaji sepenuhnya tentang hijab-hijab orang-orang dalam perjalanan ini.  Maka akan didapati bahawa bilangan kelas-kelas ini boleh sampai kepada 70 000.  Namun,  jika saudara lihat baik-baik,  saudara dapati semuanya termasuk dalam bahagian-bahagian yang saya(Imam Ghazali) terangkan itu.  Seperti yang kita lihat,  mereka mestilah terhijab;
  • oleh sifat-sifat keinsanan mereka sendiri, atau
  • oleh deria,
  • khayalan,
  • akal yang memikir dan membuat keputusan, atau
  • oleh cahaya yang sebenarnya.
    Sekianlah sahaja yang dapat saya jawab pertanyaan saudara,  meskipun perkara ini datang kepada saya semasa fikiran saya berbelah bahagi dan sedang bertafakur,  dan perhatian saya menumpu keepada perkara yang lain daripada perkara ini.  Saya harapkan supaya saudara maafkan saya kerana mungkin pena saya tersilap atau kaki saya tergelincir,  kerana bukannya mudah untuk menceburkan diri ke dalam lautan rahsia-rahsia Ketuhanan yang tidak bertepi itu;  dan sukar,  amat sukar sekali hendak mengarang dan menceritakan tentang cahaya-cahaya Maha Tinggi yang terletak jauh di sebalik tabir.
Wallahu a'lam
T            A            M            A        T

Misykaatul Anwar Bahagian ketiga 3. Mereka yang terhijab oleh cahaya sebenarnya

Bahagian ketiga
3.  Mereka yang terhijab oleh cahaya sebenarnya
 


    Bahagian ketiga ini ialah mereka yang terhijab oleh cahaya sebenarnya.  Bahagian ini pun terbahagi kepada beberapa kelas atau golongan.  Saya tidak hendak menyatakan semuanya,  hanya cukuplah kepada tiga sahaja.
Pertama
Orang yang  telah mencari dan mencapai fahaman maksud sebenarnya tantang sifat-sifat Allah.  Mereka telah  mengetahui bahawa apabila sifat-sifat Allah itu dinamakan berkata-kata(KALAM), berkehendak(IRADAT),  Kuasa (QUDRAT), ILMU,    Hidup(HAYAT),  Pendengar(SAMA'),  Pelihat(BASHAR) dan  lain-lain lagi,  maka semua itu bukanlah serupa dengan sifat-sifat  manusia (Mukholafatul lil hawadis/bersalahan dengan sesuatu yang baru).  Ini menyebabkan mereka tidak menyifatkan Allah itu demikian.  Apabila hendak menceritakan tentang Allah,  mereka merujuk kepada makhluk sahaja,  seperti jawapan Nabi Musa a.s kepada Firaun;  apabila Firaun bertanya;  "Apakah Tuhan sekelian alam itu sebenarnya?".  Jawab Nabi Musa a.s. "Tuhan Yang Maha Suci Yang Melebihi tanggapan sifat-sifat,  Dialah Penggerak dan Pemerintah sekelian langit".
Kedua
Kelas kedua dalam golongan ini lebih tinggi lagi daripada yang tersebut itu(kelas pertama).  Mereka nampak bahawa sekelian langit itu berbilang-bilang(banyak) dan penggerakkan bagi tiap-tiap beberapa langit itu ialah makhluk yang bernama malaikat.  Dan malaikat ini pula berbilang-bilang iaitu banyak.  Perhubungan malaikat-malaikat  ini dengan cahaya-cahaya Ketuhanan adalah ibarat perhubungan bintang-bintang dengan semua cahaya lain yang kelihatan.  Kemudian mereka lihat bahawa langit-langit itu diselubungi oleh satu lingkungan; dan dengan gerak lingkungan ini semua yang lain berputar sekali dalam masa 24 jam.  Akhirnya, ..... Tuhan itu ialah Dia Yang Memberi gerak kepada lingkungan yang paling luar itu;  dan lingkungan paling luar ini menyelubungi semua yang lain.  Maka dengan itu (kata mereka) Tuhan itu mestilah tidak berbilang-bilang.
Ketiga
Kelas yang ketiga lebih tinggi lagi dari itu.  Kata mereka bahawa perhubungan gerak langsung pada benda-benda langit itu mestilah satu  tindakan perhambaan kepada Tuhan Sekelian Alam;  tindakan penyembahan dan ketaatan kepada perintahNya dan dilakukan oleh satu daripada makhluk-makhluk iaitu malaikat.  Perhubungan malaikat  ini dengan cahaya-cahaya Ketuhanan  Maha Suci itu ialah ibarat perhubungan bulan dengan lain-lain cahaya yang nampak.
Mereka mengatakan bahawa Tuhan itulah yang ditaati oleh malaikat ini.  Maka Allah Subhanahuwa Taala  itulah mesti dianggap sebagi penggerak secara perintah(amar) sahaja,   dan bukan secara langsung dengan lakuan.  Penjelasan tentang "perintah" yang manakah dan apakah sebenarnya,  maka perkara ini tidaklah jelas dan sangat susah hendak difahami oleh kebanyakan orang.  Di samping itu pula,  perkara ini tidak termasuk dalam pembicaraan kitab ini.
Semua yang tersebut itu adalah peringkat-peringkat yang terhijab oleh cahaya-cahaya tanpa  bercampur dengan  gelap.
"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran)
Bersambung ke tajuk yang terakhir..........
Allahu-A'lam

Misykaatul Anwar Bahagian ketiga 2. Mereka yang dihijab oleh campuran cahaya dengan gelap

Bahagian ketiga
2.  Mereka yang dihijab oleh campuran cahaya dengan gelap
 


Mereka ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu;
  • Pertamannya, orang yang gelapnya itu berpunca dari deria (pancaindera);
  • Kedua,  gelapnya berpunca dari khayalan;
  • Ketiga, gelapnya berpunca dari logik akal yang palsu.
Pertama. Terhijab oleh gelap deria.
Mereka ini ialah orang-orang yang telah melangkah sempadan mempertuhankan diri sendiri, yang mana itu adalah sifat orang-orang yang dalam golongan pertama yang telah tersebut dahulu kerana mereka mempertuhankan kepada sesuatu yang di luar diri mereka,  dan ada sedikit keinginan untuk mengetahui Tuhan.
  • Peringkat pertama terdiri daripada mereka yang menyembah berhala.
  • Peringkat akhir terdiri daripada mereka yang menduakan Tuhan.
  • Antara kedua-kedua peringkat tersebut, ada  peringkat-peringkat lain lagi.
        Orang-orang dalam peringkat pertama (penyembah-penyembah berhala) itu sedar pada umumnya yang mereka ada tuhan dan tidak mempertuhankan diri mereka sendiri.  Mereka percaya bahawa Tuhan mereka itu lebih  besar dan lebih berkuasa dari apa-apa yang lain;  tetapi gelap deria menghijabkan mereka daripada pengetahuan bahawa;  mereka mestilah melampaui Alam Deria dalam perkara ini.  Oleh itu,  mereka ambil logam-logam yang bernilai seperti emas,  perak,  permata dan lain-lain untuk dijadikan patung-patung sebagai Tuhan.  Orang-orang ini terhijab oleh cahaya Kekayaan dan Keindahan dari sifat-sifat Allah dan CahayaNya.  Mereka lekatkan sifat-sifat ini(kaya dan indah) kepada benda-benda yang dilihat oleh deria;  yang mana deria itu telah menyekat cahaya Allah.  Ini adalah kerana deria itu adalah gelap dari segi Alam Keruhanian,  sebagaimana yang telah kita terangkan dahulu.
        Kelas kedua ialah puak-puak bangsa Turki yang liar yang tidak mempunyai masyarakat keagamaan yang tersusun dan tidak ada undang-undang agama yang tertentu.  Mereka percaya bahawa mereka ada Tuhan dan tuhan itu ialah sesuatu benda yang jinak.  Jika mereka  berjumpa seorang manusia atau sepohon pokok atau seekor kuda dan lain-lain yang luar biasa cantiknya,  maka mereka akan menyembah benda itu dan dikatakan itu tuhan mereka.  Mereka ini terhijab oleh cahaya keindahan bercampur dengan gelap deria.  Mereka masuk lebih jauh daripada penyembah-penyembah berhala ke dalam cahaya,  kerana mereka adalah penyembah-penyembah Keindahan secara mutlak bukan kepada individu,  dan mereka tidak hadkan atau bataskan khusus kepada satu individu sahaja dan membuang yang lain.  Keindahan yang mereka sembah itu ialah keindahan Tabie ciptaan Tuhan,  dan bukan ciptaan mereka sendiri.  Inilah yang membezakan mereka dari golongan penyembah berhala.
        Kelas atau golongan yang ketiga berkata;
"Tuhan kami mestilah cahaya pada zatnya.  Ia maha mulia dan maha agung,  maha gagah dan tidak bertolak ansur;  tetapi ia mestilah boleh dilihat;  kerana jika tidak kelihatan tentulah tidak bererti apa-apa".
Oleh kerana mereka dapati api itu ada sifat-sifat yang tersebut tadi,  maka mereka sangka api itulah tuhan dan mereka sembah api itu.  Mereka inilah orang-orang yang terhijab oleh Kekuasaan dan Kekuatan yang mana kedua itu adalah dua daripada cahaya Allah.
        Kelas atau golongan yang keempat pula memikirkan iaitu oleh kerana api itu boleh dikawal,  boleh dinyala dan dipadamkan bila dikehendaki,  maka api itu bukanlah tuhan sebenar.  Tuhan adalah hanya apa yang mempunyai sifat kekuasaan dan kekuatan dan manusia ini berada di bawah kawalannya dan ia mestilah berada di tempat tinggi.  Orang-orang golongan ini mengagung-agungkan Ilmu Nujum(Astrologi).  Mereka berkata bintang-bintang itu ada pengaruhnya masing-masing terhadap manusia.  Oleh itu,  ada antara mereka yang menyembah bintang-bintang seperti Jupiter dan lain-lain.   Ada pula yang menyembah sekumpulan falaniah-falaniah menurut banyaknya pengaruh yang mereka percaya ada pada falaniah-falaniah itu.  Mereka ini pula terhijab oleh cahaya-cahaya yang suci,  yang terang,  dan yang kuat;  yang mana ketiga-tiga tersebut itu adalah cahaya Allah.
        Golongan atau kelas yang kelima pula menyokong golongan keempat dan idea asas mereka itu tetapi orang-orang dalam kelas ini tidak setuju bahawa tuhan mereka itu boleh dikatakan kecil atau besar di kalangan benda-benda yang memberi cahaya itu.  Tentulah yang paling besar itu patut dipertuhankan.  Oleh yang demikian,  mereka menyembah matahari yang mereka anggap sebagai yang paling besar.  Orang-orang ini terhijab oleh cahaya kebesaran,  di samping cahaya-cahaya tadi;  tetapi mereka masih dibutakan oleh gelap deria.
        Golongan keenam lebih maju selangkah lagi.  Mereka berkata;  Matahari itu bukanlah menguasai semua cahaya.  Lain-lain benda pun ada cahayanya.  Sebagai tuhan,  tentulah ianya tidak bersyarikat atau bersekutu dalam perkara cahaya ini.  Mereka pun menyembah cahaya mutlak,  yang meliputi semua cahaya dan mereka anggap inilah cahaya.  Tuhan ini mestilah mempunyai sifat-sifat yang terbaik dan tidak tercela.  Tetapi dalam Alam Wujud ini ada kejahatan-kejahatan.  Kejahatan-kejahatan ini tentulah bukan dari tuhan kerana tuhan itu tidak bersifat jahat dan keji.  Lalu mereka sangkakan ada satu perjuangan antara tuhan yang gelap dan kedua-dua ini mereka namakan "Yazdan" dan "Ahriiman".  Pada sangkaan saya(Imam Ghazali),  inilah orang-orang yang menduakan Tuhan.
Cukuplah setakat ini contoh-contoh bahagian ini.  Kelas-kelas ini lebih banyak lagi dari yang saya sebutkan itu.
Kedua,  orang yang terhijab oleh cahaya yang bercampur dengan gelap dari khayalan.
Mereka ini melangkah dari sempadan deria kerana mereka sedar adanya sesuatu di sebalik objek-objek deria.  Tetapi golongan ini tidak dapat melangkah lebih dari sempadan khayalan.  Oleh itu,  mereka sembah sesuatu yang benar-benar duduk di atas kursi singgahsana.
    Peringkat yang paling bawah daripada kelas ini ialah mereka yang memperbadankan Tuhan;  kemudian itu ialah golongan "Karramitah".  Tidak perlu kita bincangkan tulisan dan pendapat mereka itu di sini kerana tidak ada gunanya di sini.
    Yang paling tinggi darjatnya dalam golongan itu ialah mereka yang menafikan Allah itu berbadan dan segala yang berkenaan dengannya, kecuali satu - iaitu arah(direction),  dan itu ialah arah ke atas.  Kata mereka itu,  apa yang tidak ada arah,  tidak di dalam atau di luar alam,  maka itu tidaklah wujudnya kerana tidak termasuk pada akal khayalan.  Malangnya mereka gagal memandang bahawa darjat pertama sebenarnya bagi budi bicara akal membawa kita bersih dan bebas dari semua rujukan apa sahaja, arah atau pun ukuran.
Ketiga,  orang-orang yang terhijab oleh cahaya Ketuhanan yang bercampur dengan gelap logik akal yang palsu.
Mereka ini menyembah tuhan "yang mendengar,  melihat, dan berilmu,  berkuasa,  berkehendak dan hidup",  dan melampaui semua arah termasuk arah ke atas.  Tetapi konsep mereka tentang sifat-sifat ini diserupakan dengan sifat-sifat mereka sendiri,  hingga ada mereka berpendapat bahawa perkataan (KALAM) Tuhan itu ialah berhuruf dan berbunyi,  seperti manusia juga.  Sementara yang lain pula lebih maju lagi ke depan.  Kata mereka;  "Sebenarnya seperti kalam fikiran kita,  iaitu tidak berbunyi dan tidak berhuruf".  Oleh itu,  apabila mereka dicabar untuk menunjukkan bahawa Allah itu benar-benar "mendengar,  melihat,  hidup dan lain-lain",  maka penjelasan mereka seolah-olah memperbadankan tuhan itu sebagai manusia,  meskipun mereka menafikannya.
Ini adalah kerana mereka tidak dapat memahami apakah sebenarnya maksud idea-idea tentang Sifat Allah itu.  Mereka berkata bahawa berkenaan dengan Iradat  atau Kehendak Allah itu,  adalah ianya bergantung atau berkaitan,  seperti kehendak atau iradat manusia juga,  berkehendak kepada sesuatu dan bertujuan.  Semua pendapat-pendapat ini sudah terkena; dan termasyhur dan kita tidak perlu panjang-lebarkan bicara berkenaan hal ini.  Mereka ini terhijab oleh beberapa cahaya Ketuhanan dan bercampur dengan kegelapan logik akal palsu.  Semua yang tersebut itu adalah kelas-kelas bagi bahgian kedua yang terdiri daripada hijab gelap bercampur cahaya.
Ulasan Suluk.
Golongan yang terakhir yang disebutkan oleh Imam Ghazali di atas banyak terdapat dalam masyarakat kita akhir-akhir ini.  Walaupun mereka bertuhankan Allah dan mengakui kerasulan Nabi, namun mereka jahil dengan idea-idea yang berkaitan sifat-sifat Ketuhanan Yang Maha suci lagi Maha Sempurna.  Biasanya golongan yang tersasar ini adalah dari golongan mereka yang;
  • Hanya berpandukan kepada Al-Quran dan  Hadis semata-mata dengan menolak mazhab-mazhab atau pendangan Ulama-ulama yang Muktabar,
  • Hanya berpandukan kepada Al-Quran semata-mata;
  • Menafikan Kefarduan Mempelajari Ilmu Usuluddin atau Sifat Dua atau Ilmu Tauhid;
  • Hanya bertaklid kepada warisan keluarga(Islam Baqa) semata-mata.
Berhati-hatilah anda terhadap golongan yang sesat lagi menyesatkan ini.
"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran)
Allahu-A'lam
Ke tajuk seterusnya......

Misykaatul Anwar Bahagian ketiga 3

Bahagian ketiga
Apakah  maksud hadis ini,  "Allah mempunyai 70 000 hijab cahaya dan gelap;  sekiranya Dia membuka hijab itu,  maka Keagungan wajahNya nescaya  akan menelan tiap-tiap orang yang menelannya dengan pandangannya"  (Setengah mengatakan "70 000" hijab, dan ada pula yang mengatakan "700" hijab).
Maka saya(Imam Ghazali) terangkan demikian.  Allah itu sendiri memang Agung dan Mulia.  Hijab atau tirai itu adalah berkaitan kepada mereka yang terdinding dengan Zat Yang Agung itu.  Ada tiga jenis hijab yang ada pada manusia iaitu;
  • Gelap sebenarnya,
  • Campuran gelap dengan cahaya,
  • Cahaya sebenarnya.
Pecahan kepada ketiga-tiga jenis itu adalah banyak.  Setakat  itu sahaja yang dapat kita  petikkan.  Boleh juga dibanyakkan atau dibilang-bilangkan pecahan-pecahan ini kepada yang lain,  tetapi tidak berapa yakin dengan hasil bilangan dan penentuannya itu.  Tidak ada siapapun yang tahu sama ada ianya benar-benar boleh dipastikan atau tidak.  Perkara menentukan bilangan itu sebanyak "700" atau "70 000" adalah perkara yang hanya kuasa Kenabian sahaja yang boleh mengetahuinya.  Pada pendapat saya(Imam Ghazali) bilangan-bilangan ini bukanlah perkara yang tetap kerana selalu juga bilangan-bilangan disebut tanpa bermaksud untuk membatas atau menghadkan bilangan itu,  tetapi hanya bermaksud untuk menyebut "banyak"  sahaja.  Allah lebih mengetahuinya.
Oleh itu perkara bilangan tersebut adalah di luar keupayaan kita untuk menentukannya.  Maka sekarang saya akan terangkan tiga bahagian atau pecahan yang utama dan beberapa pecahan-pecahan selanjutnya daripada tiga itu.
1.  Mereka Yang Terhijab Oleh Yang Sebenarnya.
Bahagian pertama ialah mereka yang terhijab atau terdinding oleh gelap yang sebenarnya.  Mereka ini ialah orang "Atheis" tidak percaya dengan Allah dan hari kemudian.  Inilah orang "yang kasih kepada kehidupan dunia ini lebih daripada kehidupan akhirat"- (Al-Quran);  kerana mereka tidak percaya dengan apa yang akan datang kemudian.
Mereka ini pula terbahagi kepada beberapa pecahan.
Pertama, mereka yang hendak mencari sebab terhadap kehidupan di dunia ini dan mereka jadikan Alam Tabie ini sebagai sebab.  Tetapi Alam Tabie ini ialah satu sifat yang ada pada benda-benda.  Ianya pula adalah gelap kerana ia;
  • tidak ada ilmu pengetahuan,
  • tidak ada pandangan,
  • tidak ada kesedaran terhadap diri sendiri,
  • tidak ada kesedaran terhadap yang lain,
  • tidak ada cahaya pandangan melalui perantaraan mata.

Kedua,  mereka yang dipengaruhi oleh kepentingan diri sendiri dan tidak mahu mengetahui tujuan hidup ini.  Mereka hidup sebagai kehidupan binatang.  Hijab ini ialah diri mereka sendiri (self-centered ego) dan hawa nafsu gelap mereka itu.  Tidak ada gelap yang lebih gelap daripada penghambaan kepada dorongan diri sendiri dan cinta diri sendiri.  Firman Allah yang bermaksud; "Tidakkah engkau orang yang mempertuhankan diri?"-(Al-Quran); dan sabda Nabi Muhammmad SAW.; "Mempertuhankan yang lain dari Allah,  yang paling dibenci ialah mempertuhankan diri sendiri".
Bahagian yang kedua ini boleh dibahagi-bahagikan lagi kepada beberapa pecahan.
  • Satu daripadanya ialah manusia yang menganggap dan berkeyakinan bahawa matlamat atau tujuan akhir hidup di dunia ini ialah untuk memuaskan hawa nafsu kebinatangan mereka sahaja,  sama ada berkenaan dengan jantina(sex),  atau makan-minum atau pun pakaian.  Inilah hamba  nafsu.  Hawa nafsu itulah Tuhan mereka.  Mereka percaya bahawa dengan memuaskan nafsu itu,  mereka akan mendapat kebahagiaan.  Inilah manusia yang merendahkan martabat mereka lebih rendah daripada martabat binatang.  Adakah sesuatu yang lebih gelap daripada in????.  Inilah orang yang dihijab sebenarnya.
  • Satu lagi ialah golongan manusia yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah menakluk dan menguasai,  seperti mengambil orang-orang tawanan, membunuh dan merampas.  Demikian itulah anggapan orang-orang Arab,  orang-orang Kurdi yang tertentu dan kebanyakan orang-orang yang jahil.  Hijab pada mereka ialah sifat-sifat ganas dan garang.  Sifat-sifat ini menguasai mereka.  Mereka berasa senang hati dengan sifat-sifat mereka itu.  Inilah orang-orang yang bersifat binatang.  Mereka merendahkan martabat kemanusian mereka itu lebih rendah lagi daripada binatang.
  • Satu golongan  manusia ialah yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah kekayaan harta benda kerana kekayaan ini adalah alat untuk memuaskan   tiap-tiap nafsu syahwat mereka.  Mereka menghabiskan masa muda dan tenaga mereka dengan memperbanyakkan dan mengumpul harta kekayaan -wang ringgit,  emas dan perak,    tanah dan rumah yang indah,  gedung-gedung besar dan lain-lain lagi.  Mereka mengumpul dan menyimpan wang ringgit sebanyak-banyaknya.  Mereka bertungkus lumus siang dan malam di mana sahaja untuk memperbanyakkan harta dengan puas-puasnya.  Apa yang ada itu nampak sedikit dan mereka terus mencari lagi tanpa berhenti dan berpuas hati.  Inilah orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah "orang malang, hamba orang!!!, orang malang, hamba emas!!".  Adakah gelap yang lebih gelap daripada ini?"  Mereka telah dibutakan oleh emas dan perak.  Mereka tidak sedar bahawa emas dan perak itu adalah jenis logam yang tidak berguna jika semata-mata untuknya sahaja.  Logam yang tidak lebih daripada batu-batu atau logam lainnya.  Emas dan perak hanya bernilai jika ia dijadikan alat untuk mencapai tujuan-tujuan yang berfaedah dan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang berguna.
  • Golongan keempat ialah yang lebih buruk lagi.  Mereka ialah manusia-manusia yang menganggap bahawa kebahagiaan itu ialah dengan mencapai kemasyhuran diri,  mencari "nama" dan memperluaskan pengaruh sampai ramai orang yang menjadi pengikutnya serta menyanjungnya.  Mereka sentiasa berlagak dan melihat bayangan dirinya dalam cermin.  Ada yang mencurahkan wang ringgitnya membeli pakaiannya yang indah-indah sampai bagus dipandang orang dan disaksikan kecantikkannya itu,  meskipun ia menderita kekurangan dan dapur tidak berasap di rumahnya.
Banyak lagi jenis-jenisnya yang terhijab ini.  Semua mereka itu terhijab dari Allah dengan hijab yang paling gelap dan mereka sendiri pun gelap.  Cukuplah dengan beberapa jenis dan misalan yang saya beri itu.  Tidak perlulah diterangkan tiap-tiap semua jenis itu lagi.  Satu daripada jenis yang patut kita terangkan di sini ialah orang-orang yang  mengucap dengan lidah mereka kalimah "Syahadah" kerana disebabkan oleh ketakutan atau bertujuan untuk mengemis daripada orang-orang Islam atau untuk bermuka-muka dengan orang-orang Islam,  atau hendakkan pertolongan kewangan dari orang-orang Islam atau hendak menyokong pendapat nenek-moyang mereka secara fanatik.
Jika kalimah syahadah itu tidak boleh merevolusikan atau mengubahkan perangai seseorang itu supaya berbuat amal kebaikan,  maka itu bererti mereka belum lagi keluar dari gelap dan masuk ke dalam lingkungan cahaya.  Begitu juga wali-wali iblis yang membawa mereka keluar dari cahaya masuk ke dalam lingkungan gelap.  Tetapi bagi orang yang telah dipengaruhi sebenar-benarnya kalimah itu dan ia beramal sholeh dan meninggalkan dosa maksiat, maka inilah orang keluar dari dalam gelap meskipun mungkin ia masih ada dosa.
Ke tajuk seterusnya......