بسم الله الرحمن الرحيم
نحمده ونصلى على رسوله الكريم
KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU
DALAM KONTEKS WACANA SUNNI
- SATU PENGAMATAN AWAL
OLEH:
MUHAMMAD 'UTHMAN EL-MUHAMMADY (UEM)
Tulisan
ini insha' Allah akan membicarakan konsep "Nur Muhammad" sebagaimana
yang ada dalam beberapa teks Islam Dunia Melayu seperti teks Nur
al-Din al-Raniri, Syaikh Zain al-'Abidin al-Fatani, antara lainnya,
semoga Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya. Juga akan
diberikan perhatian kepada "Madarij al-Su'ud" dalam Bahasa Arab,
karangan Syaikh Nawawi al-Bantani, rahimahu'Llahu Ta'ala. Pengamatan
akan diberikan berdasarkan sumber-sumber tafsir dan hadith yang
muktabar di kalangan Ahlis-Sunnah wal-jama'ah. Dengan ini diharapkan
sangkaan yang tidak enak dan tidak manis terhadap para ulama kita akan
dihilangkan, dan kita beradab dengan mereka sebagaimana yang
dikehendaki dalam hadith "al-din al-nasihah" dalam hubungan dengan
'a'immatul-Muslimin', antaranya sebagaimana yang dihuraikan oleh
al-muhaddithin seperti Imam al-Nawawi rd. Sudah tentu ini adalah satu
keperluan dalam menunjukkan kemuliaan Nabi s.a.w. yang bukan hanya
"basyar" atau manusia yang terjadi daripada tanah seperti anak-anak
Adam yang lain. Ini adalah selain daripada keperluan kita mencari
kejernihan dan kebenaran dalam ilmu.
Penulis
ini yang menyedari dirinya bukan ahli dalam bidang ini bergantung
kepada panduan teks-teks ulama Sunni dalam bidang yang berkenaan dan
amat memerlukan teguran mereka yang pakar di dalamnya. Mudah–mudahan
kita ini mengenali Nabi kita sebenarnya, mencintainya dan dengan itu
kita cinta kepada Allah dan mendapat rahmatNya. Amin.
Kitab Syaikh Nur al-Din al-Raniri rh
Syaikh Nur al-Din al-Raniri menulis tentang tajuk ini dalam kitabnya Bad' Khalq al-Samawat wa al-Ard yang tercetak di tepi kitab Taj al-Muluk (tanpa tarikh). (Lihat tulisan penulis ini "Kosmologi para Fuqaha & Ulama Sufiah Dalam pemikiran Melayu", dalam Kosmologi Melayu, penyelenggaraan
Yaacob Harun, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala
Lumpur, 2001, hal.10-22). Antara nas-nas yang disebut di dalamnya ialah
hadith qudsi yang terkenal yang bermaksud: "Aku adalah
perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku kasih bahawa Aku dikenali,
maka Aku jadikan makhluk, maka dengannya mereka mengenaliKu". (Bad'
Khalq al-Samawat wa al-Ard, hal. 10). Juga dinukilnya hadith bermaksud: "Sesungguhnya Allah menjadikan ruh nabi dari zatNya dan Ia menjadikan alam semuanya dari ruh Muhammad s.a.w." (ibid. 10).
Maksudnya Ia menjadikan ruh nabi daripada tidak ada kepada ada dari
SisiNya, bukannya bermakna bahawa sebahagian daripada Tuhan dijadikan
ruh nabi. Dinukilnya juga hadith yang bermaksud: "Aku (Nabi s.a.w.) dari Allah, dan orang mu'min dariku". (ibid. 10).
Ertinya sebagaimana yang dihuraikannya sendiri bahawa nabi adalah
makhluk yang pertama yang dijadikan Allah dan sekelian orang mu'min itu
dijadikan Allah daripada Baginda (iaitu daripada nurnya). (ibid. hal. 10). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: "Aku (Tuhan) menjadikan segala perkara kerana engkau (wahai Muhammad) dan Aku jadikan engkau keranaKu" (ibid. 10). Juga dinukilkannya hadith yang bermaksud "kalaulah tidak kerana engkau Aku tidak jadikan sekelian falak ini." (ibid. 11). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: "Aku telahpun menjadi nabi walhal Adam berada antara air dan tanah" (ibid. 11).
Kemudian beliau menukil hadith nur Muhammad. Antaranya ialah yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah akal" (ibid. 11); dan yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah al-Qalam", (ibid. 11); dan yang bermaksud: "Perkara yang awal sekali yang diciptakan Allah ialah ruh-ruh" (ibid. 11).
Beliau menghuraikan bahawa akal, qalam, dan ruh itu ialah kejadian
nur Muhammad s.a.w. sebagaimana yang ternyata daripada hadith yang
dinukilkan beliau yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah nurku" (ibid. 11). Dinukilkannya juga hadith yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang dijadikan Allah ialah ruhku". (ibid. 11).
Mengikut
Syaikh Nur al-Din, Allah menjadikan Nur Muhammad itu daripada
pancaran Nur AhadiahNya, yang beliau nukilkan ialah kenyataan kitab al-Manzum yang bermakna: "Telah
berdempeklah sifat Jalal dan Sifat Jamal, maka ghaliblah Jamal itu
atas sifat jalal, maka dijadikan Allah daripada dua sifat itu Ruh
Muhammad, iaitu daripada 'adam kepada wujud (daripada tidak ada kepada
ada - uem) (Bad' Khalq al-Samawat wa al-Ard.12). Kita perlu
nyatakan bahawa yang dijadikan itu makhluk juga, bukannya sambungan
daripada zat atau Diri Tuhan, sebab kalau demikian ada dua yang kadim,
dan itu kesyirikan.
Kata
beliau bahawa selepas Allah menjadikan Nur Muhammad atau Ruh Muhammad
itu Ia tilik kepadanya dengan tilik mahabbah atau kasih, maka ia malu
dan berpeluh, dari peluhnya itulah dijadikan ruh-ruh sekelian anbia,
aulia dan nyawa sekelian orang mu'min yang salih, dan daripada nyawa
sekelian mu'min yang salih itu dijadikan nyawa sekelian mu'min yang
fasik, daripada mu'min yang fasik dijadikan nyawa sekelian mu'min yang
munafik dan mereka yang kafir. (ibid. 13).
Dan
dijadikan daripada insan nyawa insan itu nyawa sekelian malaikat, dan
daripada malaikat itu nyawa sekelian jin, dan daripada jin itu nyawa
sekelian syaitan, dan daripada syaitan itu nyawa sekelian binatang,
daripada binatang itu nyawa sekelian tumbuh-tumbuhan, setengahnya
mempunyai martabat yang melebihi yang lainnya; jadilah pula segala
jenis nafas tumbuh-tumbuhan itu dan segala anasir itu iaitu hawa, api,
air dan angin (ibid. 13).
Kemudian
beliau menyebut bagaimana Allah menilik dengan tilikan haibah pula,
hancurlah ia, setengahnya menjadi air, setengahnya menjadi api yang
menghanguskan air, keluarlah asap, naik ke angkasa, daripadanya di
Allah tujuh petala langit. Setelah itu ada bakinya yang tinggal,
daripadanya dijadikan matahari, bulan, dan bintang. (ibid.13). Demikian
seterusnya.
Beliau menukilkan pula riwayat yang lain, yang masyhur, bahawa Allah menjadikan sepohon kayu dengan empat dahannya, dinamakan Syajaratul-Yaqin.
Kemudian dijadikan Nur Muhammad dalam bentuk burung merak, diletakkan
atas pohon itu, lalu ia mengucap tasbih kepada Allah, selama tujuh
puluh ribu tahun. Bila merak itu terpandang terlalu cantik rupanya,
dengan elok bulunya, dan lainnya, sujudlah ia lima kali sujud, jadilah
sujud itu kemudiannya sembahyang lima waktu yang wajib atas umat
Muhammad s.a.w.
Kemudian dikisahkan bahawa Allah menjadikan kandil daripada akik yang merah. (ibid. 15).
Kemudian Syaikh Nur al-Din menukil riwayat yang menyebut Nur Muhammad dalam bentuk burung merak
Kitab "Kashf al-Ghaibiyyah" oleh Zain al-'Abidin al-Fatani rh:
Antara kitab Jawi yang popular sebagai rujukan ialah kitab "Kashf al-Ghaibiyyah"
Dalam kitab "Kashf al-Ghaibiyyah" (berdasarkan karangan asalnya "Daqa'iq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannah wa al-Nar" karangan Imam 'Abd al-Rahim bin Ahmad al-Qadhi, dan kitab "Durar al-Hisan" karangan al-Suyuti, dan "Mashariq al-Anwar"
oleh Shaikh Hasan al-'Adawi antara lainnya), oleh Syaikh Zain
al-'Abidin al-Fatani rh (Maktabah wa Matba'ah dar al-Ma'arif, Pulau
Pinang, t.t.) Kitab ini dikarang oleh beliau pada tahun 1301 Hijrah.
Pada halaman 3 dst. terdapat bab awal berkenaan dengan penciptaan roh
teragung, (al-Ruh al-A'zam), iaitu nur Nabi kita Muhammad
'alaihis-salatu was-salam. Kata beliau:
"Sesungguhnya
telah datang pada khabar oleh bahawasanya Allah taala telah menjadi
ia akan satu pohon kayu baginya empat dahan, maka menamai akan dia
Syajarat al-Muttaqin (Pokok Orang-orang yang bertaqwa), dan pada
setengah riwayat Shajarah al-yaqin (Pokok Keyakinan), kemudian telah
menjadi ia akan Nur Muhammad di dalam hijab daripada permata yang
sangat putih seu(m)pama rupa burung merak dan dihantarkan ia akan dia
atas demikian pohon kayu itu , maka mengucap tasbihlah oleh Nur itu atas
pohon kayu itu kadar tujuh puluh ribu tahun, kemudian menjadi akan
cermin kemaluan maka dihantarkan akan dia dengan berhadapannya; maka
tatkala menilik oleh merak itu di dalam cermin itu melihat ia akan
rupanya terlebih elok dan terlebih perhiasan kelakuan, maka malu ia
daripada Allah taala, maka lalu berpeluh ia maka titik daripadanya enam
titik, maka menjadi oleh Allah taala daripada titik yang pertama akan
ruh Abu Bakar radiya'Llahu 'anhu, dan daripada titik yang kedua itu
akan ruh 'Umar radiya'llahu 'anhu dan daripada titik yang ketiga itu
akan ruh 'Uthman radiya'Llahu 'anhu, dan daripada titik yang keempat
itu akan ruh 'Ali radiya'Llahu 'anhu, dan daripada titik yang kelima
itu akan pohon bunga mawar dan daripada titik yang keenam itu akan
padi" (hal. 3).
Kemudian
disebut bagaimana Nur Muhammad itu sujud lima kali, dengan itu,
menjadi fardu sujud, lalu difardukan sembahyang yang lima waktu atas
Muhammad dan ummatnya. Kemudian disebut Allah menilik kepada nur itu,
lalu ia malu, berpeluh kerana malunya. Daripada peluh hidungnya Allah
jadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah jadikan 'Arasy, Kursi,
Lauh dan Qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang, dan
barang-barang yang ada di langit. Daripada peluh dadanya dijadikan
anbia, mursalin, ulama, syuhada dan solihin. Daripada peluh belakangnya
dijadikan Bait al-ma'mur, Ka'bah, Bait al-Maqdis, dan segala tempat
masjid dalam dunia. (hal. 3-4).
Disebutkan beberapa kejadian lagi daripada peluhnya itu:
Daripada peluh dua kening: mukminin dan mukminat dari umat Muhammad;
| |
Daripada
peluh dua telinganya: arwah Yahudi dan Nasrani, dan Majusi,
golongan mulhid, kafir yang engkar kebenaran, munafikin.
| |
Daripada peluh dua kaki: segala bumi dari Timur dan Barat dan yang ada di dalamnya (hal. 4)
|
Kemudian
Allah memerintah nur itu supaya memandang ke hadapan, di hadapannya
ada nur, di kanan dan kirinya juga nur. Mereka itu ialah Abu Bakar,
'Umar, 'Uthman, dan 'Ali. Kemudian Nur itu mengucap tasbih selama tujuh
puluh ribu tahun.
Kata
pengarang: dijadikan nur para anbia daripada Nur Muhammad s.a.w.;
ertinya dijadikan arwah para anbia daripada peluh ruh Muhammad s.a.w.,
dan dijadikan segala ruh umat anbia itu daripada peluh arwah anbia
mereka itu.
Kemudian
diriwayatkan bahawa dijadikan oleh Allah kandil daripada akik yang
merah, dilihat orang akan zahirnya itu daripada bahagian dalamnya,
kemudian dijadikan rupa Muhammad seperti Baginda di dunia ini, kemudian
diletakkan di dalam kandil tersebut, berdiri Baginda di dalamnya
seperti berdirinya di dalam sembahyang; kemudian berkeliling roh segala
anbia dan lainnya di sekeliling kandil nur Muhammad 'alaihis-salam,
mengucap tasbih dan mengucap tahlil mereka itu selama seratus ribu
tahun; kemudian Allah menyuruh segala ruh itu menilik kepadanya; yang
menilik kepada kepalanya menjadi khalifah dan sultan antara sekelian
makhluk; yang menilik kepada dahinya menjadi amir yang adil; yang
menilik kepada dua matanya menjadi hafiz kalam Allah; yang melihat dua
keningnya menjadi tukang lukis; yang melihat kepada dua telinganya
jadilah ia menuntut dengar dan menerima (pengajaran); yang melihat dua
pipinya jadilah ia berbuat baik dan berakal; yang melihat dua bibir
mulutnya menjadi orang-orang besar raja. Yang melihat hidung menjadi
hakim dan tabib dan penjual bau-bauan. Yang melihat mulut menjadi orang
puasa. Demikian seterusnya dengan melihat anggota tertentu, jadilah
orang itu mempunyai sifat-sifat tertentu di dunia nanti. Misalnya yang
melihat dadanya menjadi orang alim, mulia dan mujtahid. (hal. 5). Dan
orang yang tidak menilik sesuatu kepadanya jadilah ia mengaku menjadi
Tuhan seperti Fir'aun dan yang sepertinya. (hal. 5).
Beliau menyebut hadith qudsi ( كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق لاعرف )
Adalah
Aku perbendaharaan yang tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenal
akan daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalnya akan
daku. (hal. 6)
Kemudian beliau menyebut hadith Nabi s.a.w. أول ما خلق الله تعالى نورى وفى رواية روحى
Ertinya
yang awal-awal barang yang suatu dijadikan Allah taala itu nurku dan
pada suatu riwayat ruhku. Kata pengarang ini: Maka adalah sekelian
alam ini dijadikan Allah subhanahu taala daripada sebab nur Muhammad
s.a.w. seperti yang teleh tersebut. Lalu ia menyebut pula haditrh
qudsi: خلقت الاشياء لاجلك وخلقتك لاجلى
Ertinya: Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau itu kerana Aku, yakni dijadikan nur Muhammad itu dengan tiada wasitah suatu jua pun. (hal. 6)
Melalui kitab terkenal ini tersebar fahaman tentang konsep Nur Muhammad di kalangan Muslimin sebelah sini.
Bab yang berikutnya ialah tentang penciptaan Adam a.s. (hal 6 dst).
Kitab al-Kaukab al-Durri fi al-Nur al-Muhammadi oleh Syaikh Muhammad bin Isma'il Daud al-Fatani rh
Kitab
ini (terbitan Khazanah al-Fattaniyyah, Kuala Lumpur, 2001). Kitab ini
yang dikarang oleh penulisnya pada tahun 1304 Hijrah, di Makkah,
berbicara tentang tajuk yang berkenaan dari halaman 2-7. Isinya
berdasarkan riwayat Ka'ab al-Akhbar, sebagaimana yang ada dalam kitab
"Kashf al-Ghaibiyyah" karangan Syaikh Zain al-'Abidin al-Fatani.
Antaranya maklumatnya ialah: Tuhan menggenggam satu genggam daripada
NurNya, diperintah ia menjadi Muhammad, ia menjadi Muhammad, ia menjadi
tiang, ia sujud kepada Allah, dibahagi nur itu kepada empat bahagi,
pertama menjadi Lauh, kedua Qalam, perintah menulis kepada Qalam, sampai
kepada umat nabi-nabi, yang taat dan yang derhaka, dengan
akibat-akibat mereka. Sampai disebutkan riwayat tentang sesiapa yang
melihat nur itu pada bahagian-bahagian tertentu jadilah ia mempunyai
sifat-sifat tertentu. Sekelian makhluk dijadikan daripada nurnya. Ia
berakhir dengan menyebut makhluk sembahyang dengan huruf nama Ahmad dan
Muhammad, berdiri qiyam seumpama alif, ruku' seumpama ha', sujud
seumpama mim, duduk seperti rupa dal. Juga dikatakan makhluk dijadikan
atas rupa huruf nama Muhammad, kepala bulat seperti mim, dua tangan
seperti rupa ha', perut seperti rupa mim, dua kaki seperti rupa dal.
Kitab "Daqa'iq al-Akhbar fi Dhikr al-jannah wa al-Nar" terjemahan Melayu oleh Syaikh Ahmad ibn Muhammad Yunus Langka:
Kitab
ini diterjemahkan oleh beliau pada 1312 Hijrah di Makkah dahulunya
diterbitkan oleh dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyah, Mesir. Kemudian ia
diterbitkan oleh Maktabah wa matba'ah al-ma'arif, Pulau Pinang, tanpa
tarikh. Isi kitab ini berkenaan dengan nur Muhammad s.a.w., asal
kejadiannya, bagaimana semua makhluk dijadikan daripadanya adalah
sebagaimana yang telah disebutkan oleh Syaikh Zain al-'Abidin dalam
"Kasshf al-Ghaibiyah"nya yang menjadikan kitab ini sebagai satu
daripada sumber-sumbernya, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian
permulaan kitabnya. Bab pertamanya sama isinya dengan apa yang ada
dalam kitab terjemahan ini.
Kitab Madarij al-Su'ud oleh Nawawi al-Bantani rh
Kitab "Madarij al-Su'ud ila 'ktisa' al-Burud", dalam Bahasa Arab, syarah bagi kitab "Maulid al-Barzanji".
Dalam mensyarahkan kata-kata dalam "al-Barzanji" hal. 2-3 (Surabaya,
tanpa tarikh dan Singapura, tanpa tarikh) bermaksud "Segala
puji-pujian bagi Allah yang membuka (seluruh) wujud ini dengan Nur
Muhammad ('al-Nur al-Muhammadi") yang mengalir dalam tiap-tiap perkara
(perkara yang ditakdirkannya oleh Allah taala sebelum daripada Ia
menjadikan langit-langit dan bumi selama lima puluh ribu tahun.
Kemudian kata Syaikh Nawawi rh lagi menukil Ka'ab al-Akhbar Allah meredhainya: "Bila
Allah hendak menjadikan sekelian makhluk dan mengamparkan bumi dan
menegakkan langit, Ia mengambil segempal daripada nurNya firmanNya
Jadilah kamu Muhammad, maka jadilah ia sebagai tiang daripada nur dan
gemilang bercahaya sehingga sampai kepada hijab zulmah kemudian ia
sujud, sambil katanya: Al-hamdulillah, kemudian Allah berfirman kerana
itu Aku jadikan engkau dan menamakan engkau Muhammad, daripada engkau
Aku memulakan penciptaan dan (dengan engkau) Aku mengkhatamkan
sekelian rasul; kemudian Allah taala membahagikan nurnya itu kepada
empat bahagian, dijadikan daripada yang pertamanya Lauh daripada yang
keduanya al-qalam, kemudian Allah berfirman kepada Qalam tulislah,
kemudian qalam … selama seribu tahun kepara kehebatan Kalam Allah taala
kemudian ia berkata; Apa yang hamba hendak tuliskan, Tuhan berfirman
'Tulislah 'la ilaha illa'Allah Muhammadun Rasulullah' maka Qalam pun
menulis yang demikian itu, kemudian ia menjadi terbimbing kepada Ilmu
Allah dalam makhlukNya, kemudian ia menulis anak-anak Adam sesiapa yang
taatkan Allah dimasukkanNya ke dalam Syurga dan sesiapa yang derhaka
kepadaNya dimasukkanNya ke dalam Neraka;
Kemudian
(ia menulis) tentang umat Nuh, sesiapa yang taatkan Allah
dimasukkanNya ke dalam Syurga dan sesiapa yang derhaka kepadaNya
dimasukkanNya ke dalam Neraka…
Demikian
seterusnya dengan menyebut umat nabi Ibrahim, … umat nabi Musa …,
umat Nabi 'Isa …, sampai kepada umat nabi Muhammad s.a.w., … kemudian
bila Qalam hendak menulis sesiapa yang derhaka dari umat Muhammad akan
dimasukkan ke dalam Neraka, terdengar suara dari Tuhan yang Maha
Tinggi 'wahai Qalam, beradablah, maka pecahlah Qalam kerana rasa
haibah itu, …, kemudian ini diikuti dengan sebutan tentang bahagian
ketiga dijadikan 'Arasy, dan bahagian yang keempat dibahagi empat pula
daripada yang awalnya dijadikan akal, daripada yang kedua dijadikan
ma'rifah, daripada yang ketiga dijadikan cahaya 'Arasy, dan cahaya
mata, serta cahaya siang, maka tiap-tiap cahaya ini adalah daripada Nur
Muhammad.
Kemudian
dinyatakan yang bahagian yang keempat itu diletakkan di bawah 'Arasy
sehinggalah Allah menjadikan Adam a.s., maka Allah letakkan nur itu
pada belakangnya, dan dijadikan para malaikat sujud kepadanya,
dimasukkannya ke dalam Syurga, walhal para malaikat bersaf di belakang
Adam, melihat kepada nur Muhammad. Bila Adam alaihis-salam bertanya
mengapa malaikat berdiri di belakangnya bersaf Allah menjawab mereka
itu sedang melihat kepada nur kekasihNya Muhammad yang menjadi khatam
sekelian rasul dan anbia. Kemudian Adam meminta nur itu dipindahkan ke
hadapan, lalu diletakkan pada dahi Baginda. Maka malaikat mengadap
wajahnya pula. Adam meminta pula dipindahkannya lalu diletakkan pada
jari telunjuknya supaya ia boleh melihatnya; maka bertambah-tambahlah
cantiknya nur itu. Kemudian disebut nur itu dipindah kepada Hawwa',
kemudian kepada nabi Shith, dan seterusnya. Demikianlah nur itu
berpindah daripada satu rahim yang suci kepada rahim suci yang lain,
sampai ia kepada sulbi 'Abdullah bapanya, kemudian keluarlah ia ke
dunia melalui rahim ibunya. (hal. 3).
Perbincangan tentang punca-punca konsep Nur Muhammad:
Antara punca-punca konsep Nur Muhammad ini ialah sebutan-sebutan tentangnya dalam Qur'an dan Sunnah.
Dalam
al-Qur'an terdapat sebutan tentang "nur" dalam ayat yang bermaksud
"Sesungguhnya telah datang kepadamu Nur dari Allah dan Kitab yang nyata"
(Al Quran 5:15).
Tentang ayat di atas "Tafsir al-Jalalain" oleh al-Suyuti menyatakan makna nur itu ialah "rasulullah s.a.w.".
"قَدْ
جَاءَكُمْ مِنْ اللَّه نُور" هُوَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ "وَكِتَاب" قُرْآن "مُبِين" بَيِّن ظَاهِر
Dalam "Tafsir al-Qurtubi" dinyatakan begini:
"
قَدْ جَاءَكُمْ مِنْ اللَّه نُور " أَيْ ضِيَاء ; قِيلَ :
الْإِسْلَام , وَقِيلَ : مُحَمَّد عَلَيْهِ السَّلَام ; عَنْ
الزَّجَّاج .
Telah
datang kepada kamu Nur dari Allah, iaitu cahaya, dikatakan "Islam",
dan dikatakan: Muhammad s.a.w. dari al-Zajjaj. Dan "kitab" itu
dikatakan Qur'an.
Dalam
"Tafsir al-Tabari" "nur": telah datang kepada kamu wahai ahli Taurat
dan Injil Nur dari Allah, yakni Nur itu Muhammad salla'Llahu 'alaihi
wa sallam yang dengannya dicerahkan kebenaran dizahirkan Islam dan
dihapuskan kesyirikan.
قَدْ جَاءَكُمْ يَا أَهْل التَّوْرَاة وَالْإِنْجِيل مِنْ اللَّه نُور , يَعْنِي بِالنُّورِ مُحَمَّد صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , الَّذِي أَنَارَ اللَّه بِهِ الْحَقّ , وَأَظْهَرَ بِهِ الْإِسْلَام , وَمَحَقَ بِهِ الشِّرْك
Dalam "Tafsir ibn Kathir" tentang ayat ini (Al Quran 5:15) dinyatakan:
قَدْ جَاءَكُمْ مِنْ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ " يَقُول تَعَالَى مُخْبِرًا عَنْ نَفْسِهِ الْكَرِيمَةِ أَنَّهُ قَدْ أَرْسَلَ رَسُوله مُحَمَّدًا بِالْهُدَى وَدِين الْحَقّ إِلَى جَمِيع أَهْل الْأَرْض
Telah
datang kepada kamu Nur dari Allah dan kitab yang nyata, Allah taala
memberi khabar berekenaan dengan diriNya sendiri bahawa Ia mengutuskan
RasulNya Muhammad dengan Bimbingan Hidayat dan Agama yang hak kepada
semua ahli bumi.
Berkenaan dengan ayat 119 Surah al-Syu'ara'
وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ
Dan perubahan gerak engkau di kalangan mereka yang sujud
قَالَ
مُجَاهِد وَقَتَادَة : فِي الْمُصَلِّينَ . وَقَالَ اِبْن عَبَّاس
: أَيْ فِي أَصْلَاب الْآبَاء , آدَم وَنُوح وَإِبْرَاهِيم حَتَّى
أَخْرَجَهُ نَبِيًّا . وَقَالَ عِكْرِمَة : يَرَاك قَائِمًا وَرَاكِعًا وَسَاجِدًا ; وَقَالَهُ اِبْن عَبَّاس أَيْضًا
Kata
Mujahid dan Qatadah: (perubahan gerak engkau di kalangan mereka yang
sujud) iaitu di kalangan mereka yang sembahyang. Kata Ibn 'Abbas:
dalam sulbi-sulbi bapa-bapa kamu (turun temurun) Adam, Nuh, dan
Ibrahim, sehingga Allah keluarkan Baginda sebagai nabi (akhir zaman).
Kata 'Ikrimah: Melihat engkau berdiri, ruku', sujud; Ibn 'Abbas juga
berpendapat demikian.
Dalam "Tafsir Ibn Kathir" dalam hubungan dengan ayat yang sama terdapat kenyataan:
وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ
وَقَوْله تَعَالَى " وَت
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada
Komentar yang mengarah ke tindakan spam akan di hapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.